BUKAN hanya masyhur di seluruh dunia sebagai ikon fesyen, jauh lebih utama Karl Lagerfeld telah memainkan peranan yang cukup besar dalam hidup pereka fesyen di peringkat global.

Antara yang menghormati Lagerfeld sebagai sumber inspirasi ialah pereka fesyen ternama negara, Datuk Rizalman Ibrahim.

Berkongsi pandangan mengenai figura fesyen dunia itu, Rizalman berkata, Lagerfeld sepanjang hayatnya telah mengangkat martabat dan darjat dunia fesyen setanding dengan kerjaya profesional lain.

“Fesyen bukan hanya untuk melawa dan sekadar sampingan sahaja. Ia adalah salah satu perkara penting dalam tamadun manusia.

“Sebagai contoh pada abad ke-16, 17 dan 18, pereka fesyen pada zaman itu tidak dikenali orang tetapi memikul tanggungjawab sama iaitu memberi sumbangan kepada tamadun manusia menerusi pakaian.

“Sekiranya tiada bidang fesyen atau industri pakaian, maka berbogellah kita sampai ke hari ini,” katanya kepada Astro AWANI.

Menurut Rizalman, Lagerfeld merupakan insipirasi buatnya terutama ketika beliau masih mula berkecimpung dengan dunia fesyen.

“Lagerfeld sudah meneraju Chanel dan banyak perubahan telah dilakukan sepanjang beliau bersama jenama itu. Sewaktu saya belajar dahulu, saya telah banyak berguru dengannya menerusi majalah dan juga bahan-bahan rujukan di perpustakaan.

“Dahulu untuk menimba ilmu agak susah, tidak macam sekarang dengan adanya internet dan sebagainya. Sekarang kita boleh menghadiri pameran-pameran atau beli tiket penerbangan sahaja ke Paris untuk mendalami dunia fesyen itu sendiri,” kata Rizalman yang sudah lebih dua dekad membina empayar fesyen atas jenama Rizalman Ibrahim.

Selain itu, Rizalman juga sangat gembira kerana berkongsi misi yang sama dengan mendiang Lagerfeld dalam dunia fesyen iaitu memikul tanggungjawab mengangkat martabat fesyen itu sebagai satu bidang professional.

“Jikalau dahulu sesetengah orang menganggap fesyen itu sinomin dengan tukang jahit, tetapi saya dan Lagerfeld sendiri ingin jadikan bidang ini setaraf dengan kerjaya doktor, peguam dan jurutera,” ujar Rizalman.

Malah, Rizalman turut berpendapat bahawa ilmu sangat penting dalam apa sahaja disiplin kerana boleh mencetuskan inspirasi kepada seseorang dalam mewujudkan sesuatu idea kerana idea datang daripada inspirasi.