Jurutera Malaysia yang melakar sejarah apabila terlibat dalam pembinaan Menara Jam Abraj Al-Bait di Mekah, Datuk Wan Nazri Wan Aria berhasrat untuk melahirkan lebih ramai jurutera muda profesional di negara ini.

Sehubungan itu, Wan Nazri, 37, merancang untuk menubuhkan sebuah firma penyelesaian kejuruteraan sebagai inisiatif membimbing jurutera muda di negara ini agar sebaris dengan jurutera profesional di luar negara.

Beliau berkata berdasarkan pengalamannya bekerja di Jerman, berkhidmat dengan syarikat di luar negara merupakan pengalaman yang amat berharga dalam membentuk diri seorang jurutera muda termasuk etika dan cara kerja.

"Jika kita duduk luar negara belajar ataupun bekerja maka kita boleh timba ilmu dan juga teknologi yang boleh kita bawa balik sini untuk dikongsi kepada generasi muda. Perkara itu amat penting dalam perkembangan sebagai seorang profesional," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Terdahulu, Wan Nazri menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka 2017 bersempena sambutan Hari Lahir Ke-79 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob yang disambut pada 13 Okt lepas.

Pada istiadat itu, seramai 477 orang menerima darjah, bintang dan pingat masing-masing hari ini didahului Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim yang menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M) membawa gelaran Datuk Wira.

Bapa kepada tiga orang anak itu turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Melaka atas penganugerahan itu yang sangat bermakna dalam hidupnya.

-- BERNAMA