Mohd Asri Dir, 53, tidak menyangka perkenalannya dengan Mariati Murad, 39, empat bulan lalu akhirnya membawa mereka ke jenjang pelamin.

Mereka adalah antara sembilan pasangan pengantin yang diraikan dalam satu majlis perkahwinan beramai-ramai di sini.

Mohd Asri berkata beliau tidak menyangka akan bertemu jodoh untuk kali kedua selepas kematian isterinya setahun yang lepas.

"Saya tiada niat untuk berkahwin lagi selepas kematian isteri namun kalau sudah jodoh tak ke mana. Saya disatukan dengan Mariati melalui pertemuan yang dirancang oleh rakan dan saudara.

"Majlis perkahwinan yang dibuat secara beramai-ramai ini merupakan satu pengalaman berharga dan unik bagi saya kerana saya boleh melihat gelagat pasangan-pasangan lain yang lebih muda dalam satu majlis yang sama," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Mega Seri Pengantin di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini, pada Sabtu.



Bagi satu lagi pasangan pengantin, Nik Hafizi Syahid Nik Zulkiflee, 22, dan Nur Atikah Mohd Ripin, 21, berkata majlis perkahwinan beramai-ramai seperti ini memberikan mereka peluang untuk berjimat tanpa mengorbankan kemeriahan hari bahagia mereka.

"Bagi pasangan muda seperti kami, ia memberikan penjimatan dengan bayaran pakej yang murah untuk majlis yang lengkap dengan jamuan makan, pakaian dan lain-lain," kata Nik Hafizi Syahid.

Sementara itu, Pengarah Glams Wedding Event Specialist Azura Mohamad berkata sehingga kini sebanyak 200 pasangan telah diraikan dalam program berkenaan, sejak ia kali pertama dianjurkan pada 2016 dengan kadar bayaran RM3,000 bagi setiap pasangan.

"Kami selaku penganjur akan mengaturkan persiapan dari mula majlis akad nikah sehingga ke majlis persandingan untuk setiap pasangan pengantin," katanya.

Katanya, jumlah pasangan terbanyak yang pernah diuruskannya dalam satu-satu majlis ialah sebanyak 20 pasangan.

--BERNAMA