Kanak-kanak kurang nutrisi berisiko jangkiti penyakit - Pakar

Kanak-kanak kurang nutrisi berisiko jangkiti penyakit - Pakar
Pengambilan makanan bernutrisi harus bermula dari rumah, seperti menyediakan hidangan yang lengkap dengan pengambilan susu selain nasi, sayur, buah, dan sumber protein. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kekurangan pengambilan makanan bernutrisi yang diperlukan kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah menyebabkan mereka mudah terdedah dengan risiko menghidapi penyakit berjangkit.

Menurut pensyarah di Pusat Pengajian Makanan dan Dietetik Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Syahrul Bariah Abdul Hamid, kanak-kanak berumur lima tahun ke bawah yang kurang mengambil makanan bernutrisi juga boleh merencatkan perkembangan kognitif dan kebolehan fizikal.

Beliau juga menekankan lima tahun pertama merupakan fasa tumbesaran paling penting untuk kanak-kanak mendapatkan nutrisi yang cukup bagi menjamin tumbesaran fizikal yang sempurna seperti memperoleh gigi yang kuat dan bebas daripada penyakit osteoporosis.

Kebolehan otak kanak-kanak dalam menerima dan mencerna maklumat juga akan terganggu akibat kekurangan nutrisi dalam pengambilan makanan memandangkan ia adalah masa paling aktif bagi kanak-kanak untuk mempelajari perkara baru.
"Pemakanan yang sihat akan menentukan sama ada kanak-kanak itu mencapai berat dan ketinggian yang sesuai dengan umur mereka. Makanan di awal usia amat penting kerana ia akan membentuk anak itu pada kemudian hari.

"Memang ada ibu bapa yang memberikan makanan cukup kepada anak-anak, namun ianya tidak bernutrisi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Syahrul Bariah juga berkata, pengambilan makanan bernutrisi harus bermula dari rumah, seperti menyediakan hidangan yang lengkap dengan pengambilan susu selain nasi, sayur, buah dan sumber protein.

Maka, ibu bapa disarankan untuk menyiapkan diri dengan pengetahuan mengenai pemilihan makanan yang sihat untuk anak-anak mereka.

Terdahulu, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) melaporkan kes kekurangan berat badan, terbantut, dan kurus kering dalam kalangan kanak-kanak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang berpunca daripada kekurangan zat makanan.

Dalam kajian tersebut juga menunjukkan 23 peratus kanak-kanak dilaporkan mengalami masalah tumbesaran terbantut manakala 15 peratus dilaporkan mengalami masalah kurang berat badan.

BACA:  Kanak-kanak PPR alami masalah kekurangan zat - UNICEF

BACA: Terbantut, kurus kering: Ada keluarga di PPR hanya hidangkan satu lauk sehari