Kanak-kanak tidak kenal warna, generasi kita yang telah hancur

Kanak-kanak tidak kenal warna, generasi kita yang telah hancur
Pernahkah anda sedar bahawa sikap perkauman merupakan satu kelakuan yang dipelajari, dan bukannya dilahirkan bersama kita.
KUALA LUMPUR: Pernahkah anda sedar bahawa sikap perkauman merupakan satu kelakuan yang dipelajari, dan bukannya dilahirkan bersama kita.

Tidak mungkin seseorang akan bersifat rasis jika dia diajar untuk melihat kebaikan orang lain tanpa mengira warna kulit. 

Tidak mungkin seseorang akan membezakan warna kulit jika dia diajar untuk berkawan tanpa batasan kaum dan agama.

Hakikatnya, tiada sesiapa yang dilahirkan dengan sifat perkauman. Malah, didikan yang diterima sejak kecil akan mengubah perspektif mereka terhadap sesuatu sepanjang hajatnya.

Sebuah filem pendek yang diterbitkan oleh Jason Lim Productions membuktikan pendirian tersebut. 
Dalam filem pendek itu, beberapa soalan ditujukan kepada tiga kanak-kanak yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India, sambil memperkenalkan mereka dengan seorang kanak-kanak perempuan, bernama Amelia. 

Tiga kanak-kanak itu kemudian diminta berkenalan sebelum mengarah mereka untuk menampar Amelia. 

Mereka terkejut dengan arahan itu kerana ia bukan sebahagian dari skrip mereka dan apa yang akan dikatakan oleh mereka selepas itu sungguh menyentuh hati.

Pengarah filem tersebut, Jason Lim berkata tiga kanak-kanak itu dipilih melalui satu sesi pemilihan bakat untuk filem terbarunya, “Born A Racist”.

Mereka kemudian diberi skrip lakonan yang merangkumi soalan-soalan seperti nama, umur dan cita-cita.

Hal ini kerana, menurut Jason, setiap jawapan kanak-kanak itu memainkan peranan yang penting dalam kajian yang mewakili agama dan bangsa yang berlainan.

Bagaimanapun, skrip lakonan itu kemudian sengaja diubah oleh Jason tanpa pengetahuan kanak-kanak tersebut bagi memudahkan kajiannya.

“Saya sengaja mewujudkan satu ikatan antara satu sama lain dengan mengarahkan mereka berpelukan serta melakukan aksi-aksi lucu.

“Selepas mereka selesa antara satu sama lain, saya secara senyap mengubah skrip untuk mengkaji tindakan kanak- kanak itu dalam menangani sifat perkauman dengan bertanya soalan-soalan yang tidak mungkin akan dijawab oleh golongan dewasa,” kata Jason kepada Astro AWANI.  

“Filem saya tidak direka untuk tujuan hiburan, saya bukan seorang penghibur, tiada sesiapa pernah bertepuk tangan selepas menonton filem-filem saya, sama ada penonton dibiarkan dalam pemikiran yang mendalam ataupun mengejutkan mereka.

Apabila ditanya berkenaan sifat perkauman, Jason berkata orang yang rasis merupakan golongan yang tidak yakin dengan warna kulit sendiri. Mereka mengambil jalan pendekatan yang drastik untuk mendapatkan perhatian orang supaya mereka tidak rasa terpinggir.




Filem pendek 'Born A Rasict' telah dilakonkan oleh Neevanath Kumar ,10, Julio Axel Loi Xig Wei,7, Rayyan Dino,7 dan Amelia. 

Jason Lim merupakan seorang pengarah dan penerbit filem yang menghasilkan filem-filem pendek berkaitan isu viral dan isu semasa.