SETIAP daripada kita mempunyai kenangan tersendiri apabila bercakap tentang masakan lazat, lebih-lebih lagi jika ia dihidangkan sewaktu musim keraian atau perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.

Bagi pengacara dan pelakon, Karl Shafek, hidangan opor daging begitu sinonim dengan dirinya kerana itulah antara menu wajib yang pasti dinikmati di dapur keluarganya di Pekan, Pahang setiap kali berlangsung acara keramaian atau ketika menyambut kedatangan bulan Syawal.

Bagi bekas finalis program realiti memasak MasterChef Selebriti Malaysia itu, opor daging memang amat disukai ahli keluarga dan saudara-mara di kampungnya kerana ia sesuai dimakan dengan nasi, roti, mahupun ketupat.

Tidak mahu kelazatan itu berakhir di meja makannya sahaja, Karl Shafek sudi berkongsi cara menyediakan hidangan tradisi tersebut kepada Astro AWANI agar dapat dicuba oleh seluruh peminat kulinari di negara ini.

Walaupun menggunakan banyak bahan termasuk rempah yang berbau harum lagi eksotik, cara memasak opor daging ini tidaklah begitu sukar. Ikuti video berikut untuk mengetahui kaedah, rahsia dan petua penyediaannya.