Tutup

Ke Hanoi untuk sokong Harimau Malaya? Jom melancong sekali!

Ke Hanoi untuk sokong Harimau Malaya? Jom melancong sekali!
Landasan kereta api yang membelah bangunan usang di Hanoi ini sudah menjadi 'buruan' peminat fotografi. - www.unsplash.com
SEMANGAT untuk menyokong pasukan negara dalam pusingan kedua perlawanan akhir Piala AFF Suzuki pada 15 Disember tentunya 'menerbangkan' ribuan warga Malaysia ke bumi Vietnam.

Selain menghabiskan tenaga bersorak di Stadium My Dinh dan mengharapkan kemenangan untuk skuad Harimau Malaya pimpinan Tan Cheng Hoe, kunjungan ke Hanoi bersama rakan-rakan mahupun keluarga tentunya boleh dimanfaatkan juga untuk menikmati detik percutian singkat.

Inilah masanya mengenali dan mendalami suasana, budaya, tarikan alam, sejarah, seni bina mahupun gastronomi di kota usang yang banyak mempamerkan pengaruh gabungan Asia Tenggara, China dan Perancis itu.

Paling penting, jika berkesempatan nanti, dedikasikan waktu anda untuk meneroka kepelbagaian warna-warni dan gaya hidup masyarakat tempatan. Jika berkemampuan, ikuti juga program jelajah yang ditawarkan untuk anda menikmati tarikan pelancongan di Vietnam.
Oh ya, jangan lupa memesrakan diri sewaktu berkomunikasi dengan orang tempatan. Belajarlah cara menyapa menggunakan kata ‘Chao!’ (sebutan = ci-au), dan ucapkanlah terima kasih dengan menyebut ‘Cam On’ (sebutan = kam-en).

Hati-hati ketika melintas jalan raya yang dipenuhi penunggang motosikal dan basikal. Tapi menarik juga untuk dijadikan subjek fotografi. - www.unsplash.com

LOKASI MENARIK UNTUK DILAWATI:
  • Imperial Citadel of Thang Long: Lokasi ini paling ikonik untuk menyerap sejarah dan budaya Vietnam. Istana kubu dengan ketinggian 40 meter di Quan Thanh, Ba Dinh ini sudah mendapat status Warisan Dunia UNESCO.
  • Teater boneka air: Seni usang yang meneruskan legasi hiburan rakyat, pertunjukan teater boneka air ini berkait rapat dengan tradisi Hanoi. Dalam banyak pilihan yang ada, paling tulen dan terbaik adalah Thang Long Puppet Theatre di alamat 57B, Dinh Tien Hoang Street, Hoan Kiem.
  • Perfume Pagoda: Kira-kira 60km ke selatan Hanoi, kuil Buddha yang dipercayai dari kurun ke-15 ini sangat dramatik dari aspek seni binanya. Terletak di Huong Son, My Duc, binaannya 'bersatu' dengan landskap pergunungan pada latarnya.
  • Pasar Dong Xuan: Suka berbelanja? Bangunan empat aras dengan pengaruh seni bina Soviet di Dong Xuan Street, Hoan Kiem ini menggoda pengunjung dengan produk fesyen, aksesori perhiasan, kraf, dan variasi cenderamata menarik. (RM1 = 5,600 Dong)
  • Hanoi Old Quarter: Sekitar kawasan kota usang di Hoan Kiem ini pastinya menjadi 'syurga' buat pemilik Instagram. Bayangkan jaringan seni bina zaman kolonial dengan lorong-lorong berselirat, yang di setiap penjuru pasti ada tarikan seperti butik yang 'comel', kafe, kedai cenderamata.

Rakyat Malaysia pasti tidak mahu ketinggalan menyertai kemeriahan berbelanja di Dong Xuan Market. - www.unsplash.com

KETIKA BERBELANJA:
  • Berusahalah dan bertabahlah ketika menawar harga. Jangan cepat mengaku kalah! Usaha anda cuba mengurangkan harga sangat penting kerana peniaga tempatan lazimnya meletakkan harga yang lebih tinggi sejurus mengetahui anda bukan dari kalangan warga tempatan.
  • Ketika wang bertukar tangan sewaktu urusan jual beli, gunakan kedua-dua belah tangan untuk memegangnya. Meskipun ia suatu yang tidak dipandang penting, tertib ‘kecil’ sebegitu akan membuatkan kehadiran anda lebih dihormati. Kalau bukan untuk mereka, adab itu mewakili diri anda sendiri.
  • Cuba sediakan banyak wang kecil dalam saku atau beg anda dan jangan sampai ia mudah dilihat orang. Jika mereka tahu anda menggunakan not yang besar dan tidak mempunyai wang kecil, peniaga tempatan ada kecenderungan untuk meletakkan harga lebih tinggi.
  • Pastikan adan mendapat pulangan wang baki yang betul, jika menggunakan not yang besar sewaktu membayar.
Pelbagai seni bina menarik dengan pengaruh zaman penjajahan lampau dapat dilihat di sekitar Hanoi. - Pixabay

KETIKA DI JALANAN
  • Tidak perlu memakai aksesori perhiasan yang berlebihan dan elakkanlah terlalu menayangkan gajet mahal anda di jalanan. Jenayah kecil-kecilan masih berlaku di mana-mana.
  • Jika ke kawasan umum yang sesak dan anda membawa beg tangan, beg galas atau beg sandang, pastikan beg itu diletakkan di hadapan tubuh anda ketika berjalan. Begitu juga apabila sedang bersantai di kafe jalanan, pastikan ia diletakkan dalam radius kewaspadaan mata anda.
  • Jika hendak menaiki kereta sewa, teksi, bas atau kereta api, pastikan anda bertanyakan dulu harga yang perlu dibayar. Jika berpuas hati, barulah membayar dan menaiki pengangkutan itu. Jangan terus naik dan bergerak sebelum tentukan harga.
  • Pastikan anda menyimpan resit bayaran ketika berbelanja atau ketika membayar parkir kenderaan. Di beberapa tempat, terdapat seseorang yang tugasnya memeriksa bukti bayaran barangan mahupun perkhidmatan yang anda gunakan. Agak menyulitkan kalau resit itu hilang kerana sesi soal jawab akan jadi merimaskan!

Kota Hanoi juga dihiasi bangunan pencakar langit era moden yang mengubah landskapnya. - www.unsplash.com

MELAWAT RUMAH IBADAT
  • Apabila anda memasuki kawasan rumah ibadat seperti gereja, kuil atau mana-mana tempat spiritual, pastikan anda berpakaian sopan. Seluar panjang, skirt labuh, blaus yang menutup dada, selendang mahupun baju lengan panjang akan memberi imej bahawa anda menghormati tempat yang dilawati.
  • Patuh pada arahan petugas rumah ibadah tentang izin mengambil gambar, dan ambil tahu di mana harus menanggalkan kasut dan selipar, ataupun di mana kawasan atau ruang yang tidak boleh dilintasi.
  • Jangan membuat kecoh atau berbual dengan kuat di tempat-tempat seumpamanya, kerana kita sendiri tahu, di mana-mana pun rumah ibadat, menjadi tempat untuk aktiviti kerohanian dan ketenangan minda.

Bangunan lama yang penuh 'watak' dapat disaksikan di segenap sudut kota Hanoi. Ada sesetengahnya dijadikan kafe yang boleh menjadi persinggahan anda menikmati secawan kopi. - www.unsplash.com

BUDAYA TEMPATAN
  • Kalau dalam momen percutian, kurangkan perbuatan kelam-kabut atau mendesak. Bertenanglah... Orang tempatan, sama ada di hotel, di kafe atau ketika dalam perjalanan, mereka memang akan melayani anda mengikut cara mereka. Tidak perlu meninggikan suara atau bertempik. Orang Vietnam santai-santai sahaja.
  • Pada umumnya, rakyat Vietnam masih konservatif. Perbuatan menunjukkan keintiman fizikal seperti bercumbuan dengan pasangan anda di tempat awam agak kurang disenangi.
  • Ketika mengambil gambar, khususnya yang melibatkan orang tempatan sebagai subjeknya, jika boleh gunakan pendekatan secara perlahan. Jangan membidik dan mengambil gambar seperti 'pemburu yang rakus'. Kalau perlu minta izin di tempat tertentu, mintalah dengan sopan. Ini kerana, orang Vietnam di sesetengah kawasan masih lagi terasa 'asing' dengan orang luar, dan mereka sangat menjaga privasi mereka.

Hormati budaya dan adat resam tempatan di mana saja anda pergi. Jadilah pelancong yang santun dan bertanggungjawab. - www.unsplash.com

Sementara itu, berikut adalah beberapa akaun Instagram berkaitan Hanoi, Vietnam yang anda boleh ikuti sebagai inspirasi dan rujukan percutian anda:

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Hà Nội (@hanoifan) on


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Hanoi, Vietnam


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Hà Nội Phố (@hanoiphofb) on


 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by Hanoi Handbook (@hanoihandbook) on



Tag: pelancongan, hanoi, harimau malaya, pelancong, budaya, hamztravels, rakyat malaysia


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.