Keinginan Dr Abdol Aziz Sahat untuk menzahirkan memori membesarkan 17 anak angkat telah lama terpendam namun kekangan masa dan lambakan kerja menyebabkan beliau sentiasa menangguhkan hasrat itu.

Hanya setelah kematian seorang daripada anak angkatnya, Mudzafar Azrein akibat kemalangan jalan raya pada Januari 2014, barulah Abdol Aziz, seorang pakar motivasi, sedar yang beliau tidak boleh lagi bertangguh.

"Selepas Mudzafar meninggal dunia, ketika itu Allahyarham berusia 32 tahun, saya sangat sedih dan saya tahu saya kena mula lakukan sesuatu mengenai hasrat saya.

"Pengalaman membesarkan mereka ini sungguh bermakna dan manis buat saya. Ia merupakan antara memori terindah dalam hidup saya," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku 'Budak Luar Kotak' di sini, pada Khamis.

Buku tersebut adalah sebuah novel motivasi dan karya sulung Abdol Aziz yang menghimpunkan perkongsian kisah pahit manis beliau bersama anak-anak angkatnya, yang turut berkongsi pengalaman membesar bersama beliau.

"Lebih kurang dua bulan selepas kematian Mudzafar, saya adakan perjumpaan dengan anak-anak angkat saya untuk berkongsi kisah masing-masing sebelum kerja-kerja penulisan bermula," jelasnya.

Abdol Aziz, yang juga anggota alumni Universiti Malaya (UM) berkata, kali pertama beliau bertemu dengan anak-anak angkatnya itu adalah ketika memberi motivasi di sekolah-sekolah atau diperkenalkan kepadanya oleh seseorang.

Mengambil Allahyarham Mudzafar dan seorang lagi anak angkatnya berbangsa India, Nantha, sebagai contoh, Abdol Aziz menceritakan bagaimana beliau mula mengenali mereka dan seterusnya memutuskan untuk mengambil mereka sebagai anak angkatnya.

"Arwah Mudzafar datang kepada saya ketika berusia 17 tahun kerana mempunyai masalah keluarga dan perlukan bantuan untuk membantunya bersemangat semula dalam pelajaran.

"Manakala Nantha pula, dia tertarik dengan ceramah motivasi saya di sekolahnya dan sebelum saya pulang, dia datang kepada saya dan memberi sekeping nota. Dalam nota itu tertulis 'Can you be my dad?' Dia sekarang seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia dan kisahnya ada dalam novel ini," katanya.

Novel motivasi itu berkisar mengenai enam daripada 17 orang anak angkatnya yang dahulunya tidak mempunyai apa-apa dan kini berjaya dalam bidang masing-masing.

Ditanya mengapa hanya menulis tentang enam orang sahaja, Abdol Aziz berkata mereka itu mempunyai jalan cerita serta cabaran hidup yang sangat kuat dan jelas.

"Kisah jatuh bangun mereka ini sangat dekat dengan hati saya. Saya sangat sayangkan mereka ini," katanya yang juga mempunyai lima orang anak kandung.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa siri kedua novel tersebut baru sahaja disiapkan dan beliau kini dalam proses menyiapkan penulisan siri ketiga novel tersebut, yang beliau dedikasikan khas buat Allahyarham Mudzafar.

Karya setebal 362 muka surat terbitan syarikat Ilham Pena Publishing itu telah dicetak sebanyak 10,000 naskhah dan akan dijual pada harga RM35 bagi Semenanjung Malaysia dan RM37 bagi Sabah dan Sarawak.

Majlis yang dilancarkan oleh Pro Canselor UM Toh Puan Dr Aishah Ong itu turut dihadiri oleh alumni-alumni UM dan empat orang anak angkat Abdol Aziz.

-- BERNAMA