Memandangkan penggunaan Pokemon Go ketika memandu adalah satu perkara yang membahayakan, pembangun aplikasi tersebut Niantic hari ini telah melakukan kemas kini yang terbaru demi keselamatan anda.

Jika anda sedang memandu, satu amaran akan dikeluarkan yang memberi tahu supaya anda tidak ‘menangkap’ sebarang karakter Pokemon.

Namun jika anda seorang penumpang kereta, anda hanya perlu menekan paparan “I’m a passenger” (saya seorang penumpang) untuk terus bermain ketika bergerak dalam kelajuan yang tinggi.

Sudah tentu aplikasi ini tidak akan mengesan jika anda bertindak jujur atau tidak, namun peringatan ini adalah penting bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini disebabkan tindakan pengguna yang tidak bertanggungjawab ketika bermain Pokemon Go.

Ciri keselamatan baharu dalam aplikasi Pokemon GO - Foto Astro AWANI

Kemas kini juga mengembalikan fungsi mod penjimat bateri bagi pengguna iOS, yang membolehkan anda untuk mencari karakter Pokemon yang baru dalam tempoh yang lama berbanding sebelum ini.

Anda juga boleh menukar nama pengguna anda dengan kemas kini Pokemon Go ini. Namun penukaran nama ini hanya boleh dilakukan sekali sahaja.

Selain itu, kemas kini terbaharu Pokemon Go turut memberi paparan baru bagi karakter Pokemon yang berdekatan dengan anda.

Paparan baharu dalam Pokemon GO