Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dalam usaha menarik lebih ramai masyarakat terhadap 'Gaya Hidup Hijau' akan menampilkan golongan artis dan pelawak dalam pelbagai program yang diadakan.

Penyanyi terkenal Datuk Zainalabidin Mohamed, yang merupakan pengurus program tersebut, berkata kempen Tenaga Lestari 'Gaya Hidup Hijau' anjuran KeTTHA bersama Suruhanjaya Tenaga dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA), bermula pada Isnin hingga 22 Ogos ini.

Beliau berkata dengan menglibatkan golongan artis serta lebih 100 pemimpin badan korporat, diharapkan dapat mewujudkan kesedaran dalam kalangan rakyat bahawa gaya hidup hijau ini bukanlah satu perkara yang sukar dan membosankan.

"Kami akan tampil dengan pelbagai cara mudah, selain menganjurkan pelbagai pertandingan bagi menarik orang ramai berinteraksi secara terus dalam kempen ini," katanya kepada Bernama selepas menghadiri program pertama iaitu seminar mengenai 'Gaya Hidup Hijau' di sini pada Isnin.

Zainalabidin berkata kempen ini juga akan memberi fokus kepada golongan muda memandangkan mereka lebih senang untuk menerima dan menyesuaikan diri dengan perubahan gaya hidup hijau yang bakal diketengahkan nanti.

"Ini adalah fasa pertama kami untuk memberi kesedaran dan galakan kepada rakyat Malaysia untuk mempraktikkan gaya hidup yang memberi kesan terus kepada pemeliharaan alam sekitar.

"Malah kami menyasarkan lebih 30 peratus rakyat negara ini akan sedar dan menjadikan gaya hidup hijau sebagai kebiasan dalam kehidupan seharian mereka," katanya.

Zainalabidin berkata kempen ini, yang akan dijalankan di 15 lokasi di seluruh negara, akan turut melibatkan badan korporat dan agensi kerajaan, dan satu kaji selidik akan turut dilaksanakan sepanjang program tersebut bagi mengukur tahap kesedaran dan pengetahuan umum tentang tenaga lestari dan gaya hidup hijau.

"Setiap empat bulan selepas kempen bermula, kami akan mengumpulkan data mengenai kempen ini dan melihat maklum balas keberkesanan pelaksanaannya.

"Apa jua keputusan daripada data yang diperoleh, kami akan tetap meneruskan kempen sehingga semua lapisan masyarakat memberi sokongan dan menyertai secara aktif," katanya.

Kempen ini akan dirasmikan oleh Menteri KeTTHA, Datuk Seri Maximus Ongkili pada 21 April ini di Menara Kuala Lumpur, katanya.