SEJAK dahulu lagi, komuniti Kristian menyambut Krismas dengan pelbagai tradisi di samping amalan antaranya menggantung stokin pada malam sebelum Krismas.

Stokin digantung dengan harapan akan diisi oleh Santa Claus dengan hadiah ketika kita sedang tidur.
Selalunya kanak-kanaklah yang paling teruja menantikan esok hari untuk melihat apa hadiah istimewa daripada lelaki gemuk berjanggut putih pujaan ramai itu kepada mereka.

Namun, benarkah hadiah-hadiah itu dari Santa Claus? Dan mengapa stokin menjadi bekas yang disediakan untuk mengisi hadiah? (lebih baik pakai beg yang lebih besar, lagi banyak dan besar hadiahnya, kan?) Mengapa begitu tradisinya?

Sebenarnya, Santa Claus itu adalah figura khalayan yang berakar daripada cerita yang diolah daripada seorang 'keramat' termasyhur kurun ke-4 Masihi bernama Saint Nicholas. Nama Santa Claus itu daripada nama gelarannya dalam bahasa Belanda iaitu Sinter Klaas, yang dipendekkan daripada Sint Niklaas. Beliau sangat dikenali kerana sifat pemurahnya yang suka menderma kepada golongan memerlukan, juga gemar memberi hadiah kepada kanak-kanak.

Tidak ada rekod tertulis tentang asal usulnya, tetapi ada beberapa cerita popular yang menceritakan sejarah tradisi ini.

Menurut legenda, suatu ketika dahulu ada sepasang suami isteri bersama tiga orang anak perempuannya yang cantik jelita hidup dalam kemisikinan tetapi bahagia di sebuah kampung di Patara (satu tempat purba di Turki), tempat kelahiran Saint Nicholas.

Satu hari, si isteri jatuh sakit dan meninggal dunia, meninggalkan suaminya yang sudah tua dan anak-anak mereka. Si bapa yang tidak berdaya terus bersedih dengan nasib yang menimpa, hanya mengharapkan anak-anaknya menguruskan rumah tangga dan bekerja demi sesuap nasi.

Tiba usia anak-anak gadisnya sesuai untuk berkahwin, bertambah tertekan si bapa kerana menyedari mustahil untuk mengahwinkan anak-anaknya, jauh sekali dengan lelaki yang baik kerana tidak mampu menyediakan mas kahwin.

Kisah si tua ini sampai ke pengetahuan Saint Nicholas yang kebetulan melalui perkampungan itu, dan dia berhasrat untuk membantu. Bagaimanapun entah mengapa, si tua itu enggan menerima sebarang bantuan dari sesiapa pun, mungkin kerana malu.

Saint Nicholas nekad tetap mahu membantu, jadi dia memutuskan untuk menyampaikan sumbangannya secara rahsia. Satu hari selepas anak-anak perempuan si tua selesai bekerja, mencuci dan mengemas, seperti biasa mereka menyidai pakaian mereka yang basah dekat dengan pendiang untuk mengeringkannya.

Tanpa mereka ketahui, Saint Nicholas bersembunyi di sekitar rumah, mengintip dan menanti mereka masuk tidur. Dalam kegelapan, Saint Nicholas itu secara senyap mencampakkan tiga uncang emas (untuk setiap seorang anak-anak perempuan itu) dari atas serombong. Kebetulan, uncang-uncang emas tersebut termasuk ke dalam setiap satu stokin yang disangkut (ada versi yang mengatakan ia dicampak ke dalam rumah menerusi tingkap yang terbuka). Apabila mereka itu bangun keesokan paginya dan menemui stokin yang disidai berisi uncang emas, maka dapatlah ketiga-tiga anak daranya berkahwin dan hiduplah mereka dalam kebahagiaan.

Begitulah ceritanya yang memulakan tradisi turun-temurun itu di Eropah sebelum berkembang ke Amerika Syarikat seterusnya ke bahagian dunia lain dibawa bersama oleh penganut Kristian. Sehingga kini, kanak-kanak menggantung stokin, ada yang menggantung kasut, dan bersemangat menantikan hadiah yang bakal diterima.

Seperti juga perayaan-perayaan agama dan bangsa lain, yang tercetus daripada kisah-kisah lagenda zaman dahulu, tradisi-tradisi beginilah yang lebih memaknakan sesebuah perayaan tersebut supaya lebih dihayati dan difahami.

Jadi, maaf ya adik-adik, sebenarnya Santa Claus tidak wujud! (Hadiah di dalam stokin itu ibu bapa kalian yang masukkan!)