Kumpulan Maybank, IBM Malaysia, IHS Malaysia, Shell Malaysia dan KPMG Malaysia meraih anugerah di 'Life at Work Awards 2015' bagi mempraktikkan amalan kepelbagaian dan inklusiviti di tempat kerja mereka.

Anugerah itu disampaikan sebagai satu penghormatan kepada majikan untuk strategi tempat kerja yang terbaik bagi membolehkan pekerja mencapai kejayaan yang lebih besar dalam dunia korporat dan kehidupan peribadi mereka di samping menunjukkan dorongan dan komitmen syarikat masing-masing untuk memperjuangkan 'Diversity and Inclusion' (kepelbagaian dan inklusiviti).

Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) Datuk Sri Idris Jala, menyampaikan anugerah tersebut kepada majikan yang memenangi kategori yang dipertandingkan ketika majlis anugerah itu.

"Kepelbagaian dan inklusiviti adalah sebahagian daripada nilai asas yang berhubung kait dengan prestasi bisnes yang baik. Saya yakin pemenang anugerah ini bukan sahaja majikan pilihan ramai tetapi juga organisasi yang berprestasi tinggi.

"Saya menyeru lebih ramai majikan Malaysia untuk mempraktikkan strategi tempat kerja progresif, untuk menarik dan mengekalkan tenaga kerja yang berkualiti, di samping memperkukuhkan daya saing Malaysia," kata Idris Jala yang juga ahli Lembaga Pengarah Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).