Tahap kesedaran masyarakat mengenai amalan penyusuan ibu secara eksklusif semakin meningkat iaitu kepada 60 peratus pada 2018 berbanding 14.5 peratus pada 2009.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata peningkatan tersebut memberi petunjuk bahawa terdapat perkembangan yang baik dalam tempoh 10 tahun.

Peningkatan sebanyak 45.5 peratus dalam tempoh satu dekad itu merupakan susulan kesedaran tentang kepentingan memberi hanya susu ibu kepada bayi untuk tempoh enam bulan pertama.

“Menerusi Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang ketiga pada 2006 yang menunjukkan kira-kira 95 peratus ibu pernah memberikan bayi mereka susu badan dan pada bulan-bulan awal kelahirannya.

“Kesedaran itu juga dipengaruhi kejayaan kempen kesihatan dan kesejahteraan melalui usaha program advokasi serta inisiatif kumpulan sokongan penyusuan susu ibu dan pertubuhan bukan kerajaan,” kata Yeoh pada sidang media selepas merasmikan program ‘Gift of Love’ yang dianjurkan The Breastfeeding Advocacy Network (TBAN) dan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) di Atria Shopping Gallery pada Ahad.

Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif WAO, Sumitra Visvanathan dan juga Pengasas TBAN, Gina Yong.

Majlis tersebut diadakan bersempena dengan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia yang disambut pada 1 hingga 7 Ogos setiap tahun dan disertai 133 ibu yang menyusu.

Ia bukan sahaja bertujuan menggalakkan ibu yang menyusu untuk mengamalkan amalan tersebut malah untuk menyokong cuti paterniti atau cuti isteri bersalin tiga hingga tujuh hari diberikan kepada suami.

Bagaimanapun, kempen penyusuan susu ibu perlu diteruskan kerana masih terdapat 40 peratus ramai ibu yang tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang cara menyusukan bayi dengan betul dan sokongan daripada keluarga.

"Kebanyakan ibu tidak mempunyai pengalaman. Oleh itu, proses penyusuan menjadi sukar lebih-lebih lagi tiada air susu pada tempoh awal.

“Desakan suami atau keluarga yang kasihan pada bayi menangis kelaparan, bengkak pada payudara serta masih lemah selepas melahirkan juga menjadi faktor.

"Ibu perlukan sokongan supaya mereka boleh menyusukan bayi dan tidak mudah mengalah disebabkan halangan seperti ketiadaan sokongan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Yeoh berkata kerajaan Melaka telah menyediakan bilik penyusuan dan kemudahan simpanan (storage fridge) di 19 agensi kerajaannya dan berharap usaha tersebut dapat dicontohi negeri lain.

Mengulas berkenaan cuti isteri bersalin, Yeoh berkata kementeriannya menyokong pemberian cuti berkenaan bagaimanapun, keputusannya

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyokong penuh pemberian cuti diberikan kepada mereka yang menjadi bapa.

“Ibu yang baru bersalin memerlukan bantuan bapa di rumah untuk menguruskan isteri dan membawa bayi ke klinik jika mengalami penyakit kuning (jaundis).

“Pemberian cuti paterniti sedang diusahakan oleh kementerian sumber manusia dan kementerian kami menyokong usaha ini,” tambahnya.