PEMENANG pingat emas acara 200 dan 400 meter, Trenten Anthony Beram yang berasal dari Filipina bukan sahaja pantas dan mempunyai rupa paras kacak, malah dia juga merupakan seorang jejaka yang bijak.

Berusia 21 tahun, jejaka itu merupakan seorang mahasiswa jurusan Matematik di University of Connecticut, Amerika Syarikat dan sering mengekalkan keputusan cemerlang dengan meraih purata nilai gred (GPA) sebanyak 3.90 untuk setiap semester.

Bapanya, Glen Beram yang merupakan seorang guru Matematik sangat berbangga dengan pencapaian anaknya dalam bidang sukan dan pelajaran.

"Saat menyaksikan anak saya menang dan meraih emas adalah saat yang paling gembira dalam kehidupan saya selain saat dia dilahirkan ke dunia.

"Saya berharap agar ibu bapa saya ada bersama kami untuk menyaksikan kemenangannya. Ibu bapa saya menanam impian mahu melihat cucu mereka menjadi pelari pecut yang berjaya. Kini, impian mereka nyata tercapai," kata Glen kepada Bernama.

Dalam pada itu, jejaka kacak itu sendiri tidak menjangkakan dirinya akan memenangi pingat emas.

"Saya rasa sangat gembira dan berbangga kerana ini merupakan penyertaan pertama saya dalam temasya Sukan SEA.

"Saya sendiri tahu yang saya datang sebagai orang baru, jadi memenangi pingat emas adalah satu bonus untuk saya," katanya.

Sumber: Bernama, Sunstar Philippines