Kos membesarkan anak yang tinggi adalah antara faktor utama mengapa kadar kelahiran dalam kalangan masyarakat Cina di Malaysia berterusan rendah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata rakyat Malaysia di bandar dan pekan lebih memikirkan bagaimana untuk memberikan pendidikan cemerlang, penjagaan kesihatan selain mendapatkan masa hadapan yang cerah untuk anak mereka.

Faktor ini menjadi penghalang kepada mereka untuk menimang lebih ramai anak, kata Wee.

"Orang telah bercakap mengenai perkara ini untuk beberapa dekad dan saya tidak fikir adalah praktikal (memiliki keluarga yang lebih besar) kerana ibu bapa perlu memikirkan masa depan anak mereka.

"Pasangan Cina yang berkahwin dan membina keluarga lazimnya praktikal dan akan memilih 'kualiti daripada kuantiti' dalam konteks saiz keluarga," beliau memberitahu pemberita selepas menyaksikan majlis angkat sumpah anggota jawatankuasa Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia, di sini pada Ahad.

Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan peratusan masyarakat China dalam populasi tempatan menyusut lagi kepada 23.2 peratus bagi tahun ini, kurang 0.2 peratus daripada 6.65 juta tahun lepas.

Jabatan itu berkata pada 14 Julai lepas, penduduk Malaysia dijangka meningkat sebanyak 1.3 peratus daripada lebih 31.6 juta dalam 2016 kepada 32 juta yang dianggarkan pada tahun ini.

Sementara itu, Wee berkata pendaftaran motosikal bagi suku pertama tahun ini adalah 137,076 unit berbanding 135,282 unit direkodkan pada tempoh masa yang sama dalam 2016.

Beliau berkata kenaikan jumlah pendaftaran itu seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara, yang mana Malaysia mencatat kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 5.6 peratus dalam suku pertama tahun ini berbanding ramalan Bank Dunia pada 4.9 peratus untuk 2017 sehingga 2019.

-- BERNAMA