Larian amal 'Mighty Run' diadakan di pekarangan Centrus Mall, di sini, hari ini berjaya meraih dana sebanyak RM50,000 untuk disalurkan kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM).

Larian anjuran Danajamin Nasional Berhad ini mengumpul penyertaan sebanyak 1,000 peserta, satu peningkatan berbanding 650 peserta pada acara sama tahun lalu.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Danajamin, Mohamed Nazri Omar, sambutan pada tahun ini cukup meriah dengan jumlah penyertaan yang meningkat yang menyumbang kepada peningkatan jumlah dana yang berjaya diraih.

"Saya gembira kerana kami dapat mengumpul RM50,000 untuk disumbangkan kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia.

“Jumlah ini merupakan peningkatan daripada jumlah diraih pada tahun lepas iaitu RM30,000," kata Mohamed Nazri.

Walaupun pelepasan peserta terpaksa ditangguhkan kerana hujan lebat, namun para pelari tidak berganjak untuk meneruskan larian.

Dua kategori dipertandingkan iaitu jarak 5km dan 10km dengan hadiah disediakan buat pemenang 'Top 3' bagi kategori 10km.

Acara 'Mighty Run’ ini turut dimeriahkan dengan kehadiran bekas perenang Olimpik negara Jeffrey Ong dan pemenang pingat emas Sukan SEA Brunei Farah Begum Abdullah.