Larissa Ping, 19 tahun, pemenang Miss World Malaysia 2018 teruja untuk membantu mempromosikan Sarawak ke peringkat antarabangsa.

Gadis berdarah Cina dan Kenyah itu berkata, beliau amat gembira dapat memikul tanggungjawab itu sambil menjayakan aktiviti kemanusiaan yang amat diminatinya.

"Memang menjadi tanggungjawab saya sebagai Miss World Malaysia adalah untuk menjadi Duta Pelancongan untuk Sarawak.

"Saya gembira sebab saya dari kecil memang terlibat dalam persembahan kebudayaan Sarawak," katanya dalam ditemu bual eksklusif Astro AWANI di sini.

Tambah Larissa, beliau merasakan ini masa sesuai untuk menggunakan platform ini bagi mempromosi dan mempertontonkan keunikan budaya suku kaum di Sarawak.

Pada Sabtu lalu, Larissa menewaskan 11 jelitawan lain untuk muncul Miss World Malaysia 2018 di Kuching, Sarawak.

Kemenangan itu membolehkan beliau memakai mahkota berharga RM4 juta dan membawa pulang habuan RM30,000.