LANGKAWI... semua sedia maklum mengenai pulau peranginan yang terletak di utara tanah air ini selain menjadi syurga beli belah, ia turut menawarkan pelbagai keunikan semula jadi.

Bermula dengan pantai yang indah, produk gamat yang begitu banyak manfaat, dan yang terbaharu pulau ini turut menawarkan makanan eksotik yang dikenali sebagai lattut.


Apa lattut itu? Di sini kami kongsikan beberapa maklumat penting mengenainya.

1. Lattut merupakan rumpai laut

Ia adalah rumpai laut bermusim yang lazimnya dimakan penduduk setempat sebagai salad atau ulam, dan dicecah bersama air asam.

Lattut dimakan sebagai ulam dengan mencicah dalam air asam

2. Habitat lattut

Kebiasaannya lattut hidup di kawasan berlumpur dan berpasir di sekitar Sungai Kilim dan Pulau Tuba, Langkawi.

Negeri lain yang turut memiliki banyak lattut adalah di perairan Sabah dan Port Dickson, Negeri Sembilan.

Namun kini telah mula dibangunkan secara komersial di Institut Penyelidikan Perikanan Langkawi (FRI).

3. Jenis-jenis lattut

Menurut Pegawai Penyelidik FRI Langkawi Nik Nazli Effendy Ramli, terdapat tiga jenis lattut atau nama saintifiknya caulerpa sp yang ditemui di Langkawi iaitu lattut lipan, lattut buah kecil dan lattut buah besar.

4. Beza yang tumbuh liar dan diternak

Lattut yang diternak boleh terus dimakan selepas dicuci bersih berbanding rumpai laut biasa yang perlu diproses terlebih dahulu sebelum boleh dimakan.

5. Khasiat lattut

Lattut kaya dengan khasiat seperti antioksidan, memperkuat tulang dan sendi, menjaga kesihatan jantung dan mata, mengatasi sembelit serta beberapa lagi manfaat kepada pengguna.

6. Harga

Harga jualan lattut juga baik sekitar RM12 hingga RM15 sekilogram dan mampu menjana pendapatan lumayan sekiranya diusahakan secara sistematik.