Lebih 30,000 peserta menyertai acara kemuncak Hari Sarapan Malaysia anjuran Milo di sini pada hari ini.

Penganjuran program yang memasuki edisi ke-4 tahun ini, turut diperluaskan ke 7 lokasi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Ketua Serantau Nestle Malaysia, Singapura dan Brunei, Alois Hofbauer memberitahu program itu bertujuan menekankan kepentingan sarapan kepada masyarakat.

Antaranya meningkatkan kesedaran ibu bapa supaya anak mereka dididik dengan rutin pengambilan sarapan untuk lebih bertenaga.

"Kanak-kanak yang tidak bersarapan akan menunjukkan kurang konsentrasi apabila mereka pergi ke sekolah. Mereka tidak dapat fokus dan memberi perhatian penuh.

"Dengan itu, kita mahu memberi program kesedaran dengan mendidik ibu bapa kerana ibu bapa memainkan peranan bahawa sarapan adalah penting, ia perlu dipupuk setiap hari," katanya di program Hari Sarapan Malaysia Milo di sini.


Selain acara larian tiga kilometer dan lima kilometer itu, pelbagai aktiviti dijalankan, antaranya acara sarapan pagi berkhasiat, aktiviti pendidikan serta nasihat pemakanan.

Sebelum ini, program itu telah diadakan di tujuh lokasi termasuk Melaka yang merupakan lokasi pertamanya dan seterusnya ke utara dan selatan tanah air yang telah menarik lebih 50,000 peserta.

Milo mensasarkan peningkatan dua kali ganda iaitu 100,000 jumlah peserta yang dijangka menyertai program itu pada tahun depan.