Tommy Hilfiger, yang dimiliki oleh PVH Corp, mengumumkan juara dunia empat kali Formula One, Lewis Hamilton sebagai duta jenama global baharu bagi koleksi pakaian lelaki TOMMY HILFIGER, mulai musim bunga 2018.

Ia termasuk pakaian, pakaian dalam dan pakaian renang lelaki TOMMY HILFIGER, HILFIGER COLLECTION dan TOMMY HILFIGER TAILORED.

Kerjasama itu menggambarkan komitmen strategik Tommy Hilfiger untuk membina warisan pakaian lelaki yang mantap dan memacukan lagi pertumbuhan global bagi perniagaan koleksi lelaki secara keseluruhan, sekali gus membawa generasi peminat akan datang kepada jenama itu.

"Lewis telah membina kerjaya luar biasa sebagai seorang pelumba dengan penuh semangat, dedikasi dan usaha gigih -- nilai-nilai yang saya hayati ketika mewujudkan jenama saya," kata Tommy Hilfiger dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Hamilton berkata rekaan Tommy memberi inspirasi kepadanya untuk berani di dalam setiap pakaian yang dipakai di luar trek perlumbaan, dengan menzahirkan kreativiti dan gaya eklektiknya dengan penuh keyakinan.

Pencapaian kerjaya pelumba kelahiran Britain itu telah meletakkan beliau di dalam satu kumpulan atlet global yang elit, dan beliau dianggap sebagai antara pemandu terhebat Formula Satu dalam sejarah.

Kempen bersepadu itu dirakamkan oleh Mikael Jansson di Pocono Raceway, yang juga dikenali sebagai Tricky Triangle, di Pennsylvania, Amerika Syarikat dan bakal menembusi peringkat global pada musim bunga 2018.

Kempen koleksi pakaian lelaki TOMMY HILFIGER itu akan bersama-sama dengan pengiklanan jenama itu bagi wanita, yang menampilkan duta jenama pakaian wanita global dan supermodel antarabangsa Gigi Hadid.

Tommy Hilfiger merupakan satu daripada kumpulan pereka gaya hidup berjenama premium yang paling dikenali di dunia yang memberi tumpuannya kepada mereka bentuk dan memasarkan pakaian lelaki berkualiti tinggi dan pakaian sukan, koleksi pakaian dan pakaian sukan wanita, pakaian kanak-kanak, koleksi denim, pakaian dalam (termasuk jubah, pakaian tidur dan pakaian bersantai), kasut dan aksesori. -- BERNAMA