LUKISAN inai atau lebih dikenali sebagai 'henna' telah menjadi tradisi masyarakat Melayu, India dan Arab sehingga diwarisi pada generasi sekarang.

Kini, lukisan inai itu telah diperkenalkan ke benua baharu oleh seorang pelajar Syifaa Nabir, yang membawa tradisi itu ke Ireland Utara.

Hasrat memperkenalkan tradisi lukisan itu telah dicetuskan oleh remaja berusia 19 tahun ini ketika menyertai festival sambutan hari raya Aidilfitri anjuran Pusat Islam Belfast di negara berkenaan.

Beliau membuka gerai lukisan inai dengan menawarkan harga berpatutan bermula dari lukisan dengan bentuk kecil sekitar 2 Pound (RM10.56) manakala 10 Pound (RM52.78) untuk reka bentuk yang lebih kompleks dan memerlukan penelitian yang lebih.

Menurutnya, usahanya itu mendapat sambutan yang menggalakkan oleh para penduduk dan pelancong sehingga membolehkannya mendapat keuntungan mencecah lebih daripada 100 Pound (RM527.83).

Lukisan inai hasil tangan Syifaa yang sudah menetap di negara itu sejak usianya empat tahun telah mula mencuri perhatian pelanggan memandangkan hasil kerjanya yang kemas dan artistik.

“Kebanyakan pelanggan terutamanya penduduk setempat, warga Pakistan, India dan Arab di sini sudah mula menyukai dan menghargai Henna kerana ia bukanlah lukisan yang kekal seperti tatu.

“Ada pelanggan yang sanggup beratur panjang semata-mata ingin kelihatan cantik dengan lukisan Henna di tangan pada hari lebaran. Ia membuatkan saya tidak berhenti melukis selama lima jam.” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Tambahnya, salah seorang ahli politik di negara tersebut, pemimpin Parti Democratic Unionist, Arlene Foster turut tertarik dengan lukisan Henna yang dihasilkan oleh Syifaa.

Festival Aidilfitri di negara itu sudah diperkenalkan sejak tahun lalu di mana selepas solat Aidilfitri, penganjur menyediakan pelbagai gerai jualan dan aktiviti bagi memeriahkan lagi sambutan perayaan.

Sementara itu, Syifaa ingin meneruskan perniagaan lukisan Henna secara kecil-kecilan selepas tradisi itu mendapat sambutan yang sangat baik di sana.