Lukisan mural 'The Loving Sisters' iaitu wajah dua orang adik-beradik perempuan rakyat tempatan pada dinding bangunan empat tingkat di Jalan Bulatan Bakri, di sini, diiktiraf sebagai lukisan mural terbesar oleh Malaysia Book of Records (MBOR) pada Isnin.

Lukisan memaparkan wajah Nur Najwa Alisyah Abdul Rashid, 7, dan adiknya, Nur Najiyah Armani, 3, yang berasal dari Bakri, hasil seni artis Rusia, Julia Volchkova dengan kos RM100,000 pada dinding setinggi 11.8 meter dan selebar 9.45 meter itu dihasilkan dalam masa 12 hari.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siow Kiong berkata kejayaan itu adalah hasil kerjasama komuniti setempat yang membawa enam artis luar negara dan juga artis tempatan ke daerah ini.

Katanya hasil lukisan mural tersebut membuktikan bahawa wujud nilai pemuafakatan antara rakyat dan kerajaan negeri bagi membangunkan daerah ini.

"Muar yang sebelum ini terkenal dengan pelbagai produk bersejarah dan makanan enak, kini mempunyai produk baharu dari segi kreatif dan inovatif," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian Anugerah Mural Potret Terbesar oleh Pengerusi MBOR, Christopher Hw Wong yang disaksikan kira-kira 1,000 penduduk daerah Muar di sini pada Isnin.

Sumbangan komuniti

Tee berkata kos menyiapkan lukisan tersebut adalah hasil sumbangan komuniti Muar tanpa menggunakan peruntukan daripada kerajaan.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Majlis Daerah Muar kerana berjaya membina tarikan baharu ke Muar dengan menggunakan peruntukan hasil kerjasama komuniti tempatan," katanya.

Katanya rakyat perlu menjadi pemangkin dalam pembangunan dan bukan hanya menjadi sebagai pemerhati sahaja.

"Kerajaan Negeri Johor memberi galakan terhadap usaha seperti ini yang menunjukan hasil pemuafakatan antara semua pihak iaitu kerajaan, pihak swasta dan juga rakyat," katanya.

Beliau berharap tarikan baharu di Muar itu akan mampu menarik lebih ramai pelancong domestik dan luar negara berkunjung ke bandar Maharani sejajar dengan Pelan Pembangunan Pelancongan Negeri Johor (2014-2023).

Menurut Tee, pada Ogos depan, terdapat enam lagi lukisan mural akan dihasilkan di Tanjung Emas di sini, yang menjadi lukisan mural kedua di bandar ini dengan tema 'Masyarakat Berbilang Kaum Bangsa Johor'.

Inspirasi

Sementara itu, bapa kepada dua beradik tersebut, Abdul Rashid Abdul Bakar, 29, berkata beliau bangga dan tidak menyangka wajah anaknya menjadi inspirasi pelukis mural.

"Saya hanya dapat tahu wajah anak saya dilukis malam tadi...itu pun apabila pihak penganjur menjemput kami sekeluarga datang ke sini hari ini.

"Sebelum ini, saya hanya mendengar berita daripada kawan-kawan dan viral di media sosial, namun, tidak menyangka bahawa itu adalah wajah anak-anak perempuan saya," katanya.

Abdul Rashid yang bekerja di sebuah syarikat pengiklanan di Muar berkata Volchkova pernah meminta izin untuk mengambil gambar anaknya ketika mereka sekeluarga berkunjung di Taman Permainan Kanak-Kanak Tanjung Emas beberapa bulan lepas.

"Saya tidak sangka beliau akan melukisnya...pada masa itu beliau hanya memberitahu saya tujuannya adalah untuk mencari inspirasi sahaja," katanya.

Anak jati Batu 2, Bakri itu menambah kedua-dua anaknya itu amat rapat antara satu sama lain selain tidak dapat dipisahkan dan sering perlu berada di satu-satu tempat bersama.