Lupa ucap terima kasih, Harry Kane 'disergah' tunang

|

Harry Kane bersama tunangnya, Kate Goodland dan anak mereka, Ivy. - Instagram/@harrykane

SIAPA mampu menyangkal kehebatan pemain Tottenham Hotspur, Harry Kane?

Lapan hatrik dan dinobatkan penerima Kasut Emas Liga Perdana Inggeris tahun 2017, sememangnya Kane melalui satu tahun yang cukup manis.

Justeru, tidak hairanlah kedatangan tahun baru 2018 disambut penuh teruja oleh Kane, dengan satu posting di akaun Instagram.

Dalam posting itu, Kane memuat naik gambarnya bersama lapan bola hatriknya, di samping kasut emas yang dimenangi.

"2017 tahun yang hebat untuk saya. Selamat datang 2018!" tulis Kane, sambil meletakkan tanda pagar #Hattrickballs, #Goldenboot dan #HappyNewYear.

Ketika posting itu menerima komen positif daripada peminatnya, agak melucukan apabila tunang Kane, Kate Goodland, meletakkan komen berikut.



"Anak pertama? Pertunangan?" tanya Goodland dalam satu komen yang telah pun dibuang.

Pertanyaan itu, mungkin juga bernada gurauan, merujuk kepada kelahiran anak pertama mereka, Ivy Jane, pada Januari tahun lalu, dan pertunangan mereka pada bulan Julai.

Namun penyerang berusia 23 tahun itu masih mampu mengawal keadaan apabila memberikan jawapan kepada soalan itu dalam nada yang tenang.

"Tentulah semua itu juga bermakna," tulisnya.



Outbrain