Berikutan kurangnya minat golongan muda dalam perusahaan Sagu Tian, makanan tradisi kaum Melanau di Kampung Tian, Sarawak itu dibimbangi semakin pupus.

Antaranya disebabkan kos permulaan yang tinggi selain melibatkan proses pembuatan yang begitu rumit, kini hanya segelintir masyarakat yang masih mengekalkan tradisi turun temurun itu.

Setiap hujung minggu, Salinah Sah bersama keluarganya turun ke pasar tani di Tian, Matu untuk menjual hasil-hasil makanan tradisi.

Antaranya ialah Sagu Tian yang hanya boleh didapati di kampung ini.

"Sago (sagu) ini boleh makan dengan ikan, kacang, kuah kacang, minum dengan air kopi memang sedap," kata Salinah yang telah menjual makanan tradisi itu sejak empat tahun lalu.

kos menjual makanan ruji itu dikatakan semakin meningkat berikutan kesukaran untuk memproses sagu berkenaan.
Bagaimanapun menurutnya, kos menjual makanan ruji itu dikatakan semakin meningkat berikutan kesukaran untuk memproses sagu berkenaan.

"Dulu murah RM55 satu tin. Sekarang sudah meningkat kepada RM85 satu tin sebab kos memproses sagu susah sikit. Ia memerlukan kos permulaan untuk kita tebang pokok rumbia itu, selepas itu proses sagu juga susah.

"Lagipun susah cari sagu sekarang tidak macam dulu. Dulu senang kita cari sagu, sekarang kalau tak tempah, memang kita tidak akan dapat sagu," katanya.

Kurang minat golongan muda dalam mengusahakan Sagu Tian, Salinah bimbang makanan tradisi itu semakin pupus dan hanya diketahui oleh generasi lama di kampung.

"Zaman sekarang tidak macam dahulu. Zaman sekarang semua orang tua saja yang buat. Dahulu tidak, dulu anak-anak muda, remaja akan tolong emak buat sagu. Sekarang tidak ada, mereka sudah berpindah ke bandar semua," katanya.


*Tan Su Lin adalah wartawan Astro AWANI yang kini dalam tugasan membuat liputan PRN Sarawak. Untuk kisah-kisah menarik seperti makanan tradisi Sagu Tian ini dan liputan menyeluruh Sarawak Memilih, ikuti kami di saluran berita segenap dimensi 501 Astro AWANI atau layari sahaja astroawani.com