Malaysia bakal menghasilkan vaksin bebas haiwan yang pertama di dunia bagi merawat penyakit meningitis.

Menerusi kerjasama AJ Biologics Malaysia (AJB Malaysia), AJ Vaksin dan Hilleman Laboratories (HL), fasa pertama projek ini akan bermula pada pertengahan tahun ini yang akan memfokuskan kepada kajian klinikal.

Ini juga merupakan pencapaian besar buat syarikat berkenaan memandangkan ia adalah kali pertama vaksin meningitis dihasilkan tanpa sebarang komponen haiwan di negara ini.

“Kita juga berharap dapat mengembangkan pasaran vaksin ini bukan sahaja di Malaysia malah ke negara-negara Arab dan seluruh dunia,” jelas Ketua Pegawai Operasi AJ Biologics Malaysia Jerome Cabannes menerusi satu kenyataan.

Kilang pemprosesan vaksin berkenaan kini sedang dibina di Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

"Kerjasama ini bermatlamat daripada aspirasi kami untuk menjadi peneraju dalam usaha mencegah penyakit dan mewujudkan masyarakat sihat di seluruh dunia.

"Kami yakin Malaysia akan menjadi platform bagi membantu kami mencapai sasaran ini," jelas Pengerusi Kumpulan AJ Vaksin, Dr. Tabassum Khan.

Penyakit miningitis berpunca daripada jangkitan bakteria yang memberi kesan kepada otak dan tulang belakang.

Mereka yang diserang penyakit ini mungkin berdepan dengan kematian dalam tempoh beberapa jam jika tidak dirawat atau mengakibatkan komplikasi seperti kecacatan.

Setakat hari ini, belum ada satu vaksin yang boleh mencegah jangkitan semua jenis bakteria yang boleh membawa kepada penyakit berkenaan.