Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim sekali lagi menjadikan Malaysia bangga bila beliau dilantik semula sebagai Presiden Majlis Antara Kerajaan bagi Pengurusan Program Transformasi Sosial (IGC MOST) UNESCO untuk penggal kedua dari 2017 hingga 2019.

Menteri itu berkata dilantik semula ke jawatan itu merupakan satu penghormatan besar.

"Untuk tahun-tahun akan datang, saya yakin timbul keperluan untuk menggembleng lagi sains sosial dan kemanusiaan menerusi program MOST bagi membantu negara-negara anggota dengan lebih berkesan dalam rangka konteks spesifik dan pelaksanaan dasar awam untuk pembangunan sosial.

"Percayalah, saya akan terus memperkukuh dan menyempurnakan segala kerja yang telah saya mulakan," kata Rohani setelah pelantikannya semula pada Mesyuarat Luar Biasa IGC MOST di Paris pada Sabtu.

Komen beliau terkandung dalam kenyataan dikeluarkan kementerian berkenaan.

35 negara anggota IGC MOST termasuk Argentina, Perancis, Ethiopia, Cuba, Ecuador, Thailand, Turki, Togo, Filipina, Arab Saudi dan Slovakia serta Malaysia.

Selain itu, Malaysia, menerusi duta dan wakil tetapnya ke UNESCO Datuk Mohd Zulkifli Mohammed, telah dilantik sebagai naib pengerusi Sesi ke-39 Persidangan Am (GC) Suruhanjaya Sains Sosial dan Kemanusiaan (SHS) UNESCO.

UNESCO, atau Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan adalah sebuah agensi khas Pertubuhan Bangsa Bersatu yang berpangkalan di Parls.

-- BERNAMA