Menjelang Hari Raya Aidilfitri sudah pasti pelbagai kelengkapan yang perlu dan mahu dibeli oleh masyarakat Islam yang bakal menyambut hari kemenangan itu pada bulan depan.

Namun harus diingat, bersederhana di dalam belanja itu lebih baik asalkan hari raya dapat disambut dengan ‘sempurna seadanya’ yang juga merupakan tema kepada kempen Ramadan dan Raya Astro pada tahun ini.

Pakar Kewangan Islam Dr. Zaharuddin Abd Rahman memberi peringatan kepada masyarakat Islam mengenai bagaimana mahu berbelanja tanpa menambah hutang.

“Pertama jangan kita menambah hutang yang dalam keadaan ada hutang tertunggak, ertinya jika hutang itu berstruktur boleh kita ketepikan sekejap tetapi hutang yang dah sampai tempoh perlu kita dahulukan dan jangan buat hutang baru.

“Kedua, walaupun kita boleh membuat hutang baharu pastikan beban sedia ada tidak melebihi 60 peratus, bermakna kalau hutang melebihi pendapatan dan sebagai contoh jika pendapatan RM1,000 tetapi kena bayar hutang RM600 jadi janganlah buat hutang yang baru.

“Ketiga, jangan terpengaruh dengan ingin bergaya di musim raya yang akhirnya nanti akan jadi 'papakedana' dan sengsara selepas musim raya. Jangan terikut dengan adik-beradik atau orang sekeliling kita yang kaya-raya,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Dr. Zaharuddin menjelaskan adalah lebih baik sekiranya tidak menggunakan kad kredit ketika sedang berbelanja raya kerana kebarangkalian untuk menambah hutang itu besar seterusnya akan dikenakan ‘bunga’ yang merugikan.

Ketika ditanya bagaimana untuk mengatasi masalah boros ketika berbelanja, Dr. Zaharuddin berkata perancangan dan sasaran perlu dilakukan seperti menyimpan sebelum atau ketika bulan Ramadan apabila mendapat pendapatan.

“Kena ada senarai barang yang mahu beli, kalau baju raya cuma perlu dua pasang tapi kita beli lima itu dikira boros. Allah S.W.T tidak suka kepada orang boros,” jelas beliau lagi.