Tutup

Manfaat tolong-menolong dalam pembikinan Ketupat Sotong

Manfaat tolong-menolong dalam pembikinan Ketupat Sotong
Resipi Ketupat Sotong bukan sahaja sedap dan lazat tetapi falsafah tersirat di sebalik pembikinannya ialah sifat tolong-menolong yang tulus ikhlas. - Gambar hiasan
KEKREATIFAN dan kebitaraan orang Melayu memang tiada tolok-bandingnya.

Segala benda yang berkaitan dengan bangsa yang tinggi akal budi ini pasti berseni apatah lagi sajian air tangan tradisi.

Keunikan nama dan menu juadah tradisional Melayu memang luar biasa tersohor terutama air tangan rekaan masyarakat Pantai Timur yang sangat memartabatkan resam leluhur. 

Sesungguhnya resipi makanan orang-orang Melayu amatlah seimbang gizi jasmani dan rohani bahkan tepu zat maknawi.
Setiap ramuan bukan sahaja enak dan berkhasiat bahkan sarat citra keunggulan akal budi bangsa yang secara jelas tiada tolok banding aras apabila nenek moyang kita ini bijak bertindak untuk mentarbiyah dan berdakwah melalui makanan sebagai pengalas.

Generasi kontemporari menerima tunjuk ajar secara ringkas tapi berbekas. 
Memahami kalam Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 7, bermaksud, "jika kamu berbuat baik, bererti kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri. Dan jika kamu berbuat buruk, maka keburukan itu bagi dirimu sendiri," mereka pun mencipta makanan yang bukan sahaja sedap dan lazat bahkan penuh maksud dan falsafah tersirat melalui satu resepi yang sukar untuk dilabelkan sebagai kuih ataupun lauk kerana ia adalah kombinasi kedua-duanya.

Inilah dia Ketupat Sotong ataupun Sotong Sumbat yang menyimpan falsafah nan sarat perihal sifat saling tolong-menolong yang amat bermanfaat diamalkan sepanjang hayat demi keuntungan di dunia dan akhirat.

Barangkali ada segelintir yang tidak menggemari makanan ini kerana ia kelihatan janggal dan tak masuk akal.

Masakan tidak, makanan laut yakni 10 ekor sotong yang lazimnya menjadi lauk diserasikan dengan makanan darat berupa setengah cupak beras pulut, dua kilogram santan pekat, tiga keping manisan (nisse kerek), empat helai daun pandan dan secubit garam berkolaborasi menjadi resepi luar duga yang sangat umph! Nah, inilah hakikat kemanisan bertolong-menolong yang saling memberi untung.

Resipi yang limpah falsafah bermula dengan pemilihan sotong yang bersaiz sederhana besar dan segar yang dileraikan kepala dengan badan dan dibasuh bersih dan ditoskan ini melambangkan ketawadukan dan kesederhanaan adalah niat awal ketika mahu membantu amat digarisbawahkan kerana jika diambil sambil lewa sahaja aktiviti bertolong-menolong tidak menjadi tulus ikhlas seperti saranan Ilahi.

Samalah jika diambil yang kecil apabila dimasak sotong itu akan mengecut dan jika tidak segar badannya akan pecah akibat pengembangan pulut. Begitulah wasatiah yang dituntut.

Falsafah sederhana ini pula memberi tauladan tentang bagaimana kuat dan indahnya kebersamaan dalam hidup. Seperti sotong yang mahal harganya nak dimakan sikit, tak kenyang jika mahu diratah begitu sahaja, sayang.

Molek jika beras pulut yang sedikit murah disumbat ke dalam perut sotong, apabila makan Insyha-Allah kenyang.

Sotong yang asalnya lauk sudah bertukar menjadi kuih bila diaduk dengan beras pulut. Itulah nikmat yang tak terperi apabila hidup saling melengkapi.

Bagi memperincikan lagi maksud terpendam, perlambangan ketulusan hati budi dipencarkan melalui ikon warna putih beras pulut yang dibasuh bersih dan direndam seketika di dalam santan cair dan secubit garam (bagi menambahkan kelemakan rasa ketupat) serta ditoskan.

Kemudian masukkan ke dalam perut sotong itu sebanyak 3/4 daripada isi padu badannya sahaja agar ketupat yang terhasil lembut dan serata masak. Tidak perlu penuh bagi mengelak pulut membuak. Itulah ibrah keikhlasan bergotong-royong tanpa riak.

Tidak perlu dipotong leraian kepala sotong berjanggut panjang tetapi giginya berbentuk bulat di tengah-tengah di dalam sesungut perlu dibuang.

Bagi mengemaskan rupa bentuk Ketupat Sotong ini, sesungut yang panjang terlebih dahulu dimasukkan ke dalam perut berinti tiga per empat beras pulut, kemudian masukkan belakang kepalanya sehingga tidak nampak matanya dan seterusnya cucukkan dengan lidi pencungkil gigi di pangkal sesungut tersebut dan pastikan kepala sotong itu kemas dicucuk.

Sila berhati-hati ketika mencucuk lidi supaya tidak terkena pada mata sotong itu atau ia kelihatan hodoh kehitaman ataupun berserabut akibat kepala dan janggut sotong tercabut.

Demikian, perumpamaan adab semasa bermuafakat mestilah dihindari sifat bongkak yang membawa kepada berubah niat menolong kerana Allah kepada tujuan bermegah-megah sekali gus melukai hati orang yang ditolong dengan tusukan sifat ‘agah’ (takabbur). 

Di dalam periuk, lapik bahagian dasarnya dengan daun pandan sehingga melitupi kesemuanya, susun sotong padat berinti beras pulut, kepala serta janggut memenuhi ruang dasar dan tindan perlahan di atasnya dengan cermat.

Masukkan santan pekat tadi bersama sedikit garam dan manisan. Hidupkan api yang paling kecil, tutupkan periuk dan masak selama 30 - 45minit  sehingga pulut di dalam sotong masak dan santan akan pecah minyak. 

Kreativiti nenek moyang Melayu kita nan bijaksana amatlah luas skopnya. Kekal berpegang teguh kepada prinsip setiap kebaikan yang dilakukan pastilah kebaikan itu akan  kembali kepada semula.

Jika seseorang suka menolong pasti akan ditolong, jika seseorang suka memaafkan pasti akan dimaafkan. Jika seseorang suka memudahkan urusan orang lain maka pada suatu waktu dia mendapat kesulitan pasti akan ada saja yang menolongnya, insya Allah.  

Begitulah sunatullah sebagaimana Allah berfirman dalam surah ar-Rahman ayat 60: bermaksud, "tidak ada balasan kebaikan kecuali kebaikan". 

Dari situ, mereka meraikan selera anak cucu yang kurang menggemari rasa manis sebaliknya menyukai rasa lemak berkrim.

Justeru resipi di atas diubah suai dengan tambahan sejemput halba, setengah inci halia dan 3 ulas bawang merah. Kedua-duanya perlu dimayang. Secukup rasa gula dan garam. Resipi sebegini lebih popular di negeri jiran, Terengganu Darul Iman.

Berbeza sedikit cara penyediaan ketupatnya apabila beras pulut yang telah direndam bersama santan hendaklah terlebih dahulu ditanak sehingga masak dan biarkan sejuk. Kemudian baharulah disumbatkan ke dalam perut sotong tersebut dan dimasak hingga santan pecah minyak. 

Toleransi tetap dititikberatkan ketika menghulurkan bantuan yakni berdasarkan kemampuan dan cita rasa tersendiri.

Begitu jugalah kaedah penyediaan juadah ini adalah tipikal dan sukatan bahan-bahannya adalah mengikut selera masing-masing, jika mahu lebih manis perbanyakkan gula manisannya, jika mahu masin maka lebihkan garamnya dan jika tak suka berlemak maka kurangkanlah santannya.

Semerbak aroma di dapur mencanak-canak memecahkan liur, alangkah enak menikmati hidangan Ketupat Sotong bertelur.


* Zanazanzaly ialah penulis buku gastronomi. Karya terlaris beliau termasuk "10 Juadah Nan Berkisah".

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.




Tag: zanazanzaly, gastronomi, ketupat sotong, falsafah, makanan, tolong-menolong, penulis buku, resipi, tradisi, kolumnis



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.