Kehidupan di zaman kolej dan universiti memberikan banyak pengalaman pahit dan manis kepada kehidupan seseorang graduan.

Pengalaman ini bukan sahaja membantu memperkemas persiapan mereka melangkah ke alam pekerjaan malah membentuk keyakinan diri bagi berdepan pelbagai cabaran di luar.

Satu tinjauan pendapat terbaharu dijalankan Elon University, Amerika Syarikat mendapati bahawa setiap mahasiswa perlu membina rangkaian perhubungan dan komunikasi yang meluas dengan mencari mentor atau pembimbing bagi membolehkan golongan ini benar-benar menikmati zaman pengajian mereka di sesebuah institusi pengajian tinggi.

Kajian ini dijalankan terhadap lebih 4,000 graduan di Amerika Syarikat yang menamatkan pengajian di peringkat ijazah.

Pemilihan golongan pembimbing ini tidak terhad kepada pelajar sealiran atau pensyarah dikenali sahaja kerana untuk mempelajari dan mendalami pelbagai ilmu, jurang keterbatasan dalam membina rangkaian perlu dirobohkan.

Malah golongan ini seharusnya membina pelbagai rangkaian perhubungan dan komunikasi sejak dari tahun pertama institut pengajian mereka.

Kajian sama mendapati golongan graduan yang mempunyai hubungan komunikasi yang baik dengan sekurang-kurangnya tujuh atau sepuluh kenalan atau staf di fakulti akan lebih menikmati zaman pengajian mereka berbanding dengan golongan yang tidak melakukan demikian.

Tahun pertama di kolej atau universiti adalah penting bagi membina asas untuk hubungan ini yang sebenarnya bukan sahaja memberi impak kepada masa ketika dalam tempoh pengajian malah ia mampu memberi manfaat selepas tempoh tamat pengajian.

Kualiti vs kuantiti

Bagi mencipta pengalaman pengajian yang berkualiti, pemilihan mentor memainkan peranan yang penting.
Kajian bancian dari Gallup-Purdue 2014 menunjukkan jumlah mentor yang ramai adalah tidak perlu kerana kualiti adalah lebih penting daripada aspek kuantiti.

46 peratus tinjauan pendapat menyaksikan golongan ini merasakan pewujudan ekosistem yang sihat ini sebenarnya bukan sahaja mencerminkan ketrampilan berkualiti golongan mahasiswa malah ia juga memberi erti yang besar dalam era pembelajaran mereka di sesuatu institusi.

Namun bukan semua menghadapi keyakinan untuk membina jaringan komunikasi yang baik untuk mendapatkan mentor yang berkualiti.

Sifat rendah diri atau kurang pengetahuan asas menjadi punca kegagalan kumpulan minoriti ini tidak terdedah kepada mengapa pentingnya ada mentor yang berkualiti.

Walau apapun, inisiatif daripada pihak kolej atau universiti juga penting dalam memainkan peranan membimbing golongan ini supaya mereka mampu mencipta pengalaman berharga sepanjang berada di sesebuah kolej mahupun universiti.