KUALA LUMPUR:Perkhidmatan mengenal pasti profil tumor atau profil molekular adalah rawatan kanser lebih khusus yang mengkaji sel-sel tumor (ketumbuhan) seseorang itu pada peringkat genetik.

Melalui kaedah itu, doktor atau pakar onkologi, kini boleh mengenal pasti biopenanda unik tumor sekali gus menentukan ubat-ubatan yang lebih tepat.

"Memprofil tumor bukan sahaja boleh meningkatkan hasil klinikal, malah mengurangkan kos rawatan, terutamanya perbelanjaan bagi ubat-ubatan yang mahal serta mengelakkan kesan sampingan yang tidak perlu dan kesan toksik yang teruk," kata pakar onkologi Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Wahid.

Pengarah Perubatan dan Perunding Onkologi Klinikal di Beacon International Specialist Centre itu berkata demikian kepada pemberita pada pelancaran perkhidmatan Caris Molecular Intelligence baru-baru ini.

Beliau berkata sebahagian besar rawatan piawai (standard) bagi kanser sekarang adalah berdasarkan kedudukan tumor itu.

CARA CUBA JAYA

Pesakit kanser selalunya diberi rawatan piawai yang kemudiannya diselaraskan berdasarkan kaedah 'cuba jaya' (trial and error).

Ini bermakna, jika rawatan pertama gagal mengawal kanser, pakar onkologi akan beralih ke pilihan paling lazim digunakan untuk rawatan selanjutnya dan terus berbuat demikian sehingga menemui terapi yang berkesan untuk pesakit berkenaan.

Pendekatan seumpama itu mungkin berkesan untuk sesetengah pesakit, tetapi tidak mendatangkan manfaat untuk semua orang.

Sesetengah pesakit mengalami hasil rawatan yang tidak berkesan seperti tidak cukup rawatan, terlebih rawatan, mendapat kesan sampingan manakala sebilangan kecil pula mungkin mengalami kesan toksik yang teruk.

Keadaan seperti itu memberi kesan kepada kualiti hidup pesakit dan akhirnya sesetengah daripada mereka akan kelesuan kerana terpaksa melalui kesemua rawatan piawai sedangkan tiada satu pun yang berjaya merawat penyakit itu.

"Kita cenderung untuk menggunakan kaedah rawatan 'sesuai untuk semua'.

"Kita memberi rawatan yang sangat menyeluruh tetapi tidak semua kaedah yang sesuai dan pesakit mendapat manfaat daripadanya, seperti kemoterapi.

MENGETAHUI MENGAPA RAWATAN GAGAL

"Kebanyakan kaedah akhirnya mungkin gagal, tetapi kita tidak mempunyai jawapan kepada persoalan kenapa mereka gagal, mengapa kemoterapi berkesan pada sesetengah pesakit tetapi tidak kepada yang lain," katanya.

Mohamed Ibrahim percaya bahawa rawatan kanser pada masa hadapan akan berubah menjadi terapi yang lebih peribadi dan khusus.

Bagaimanapun Prof. Dr. Cheong Sok Ching dari Cancer Research Malaysia (CRM) berkata, kaedah itu kini hanya digunakan untuk beberapa jenis kanser contohnya payudara, paru-paru dan kolorektal.

Beliau berkata perkhidmatan profil tumor penting dalam menentukan pesakit mana yang akan bertindak balas terhadap terapi mana. Pada masa ini, hanya terdapat beberapa penanda genetik yang akan memberi kesan terhadap terapi-terapi kanser.

"Ertinya masih banyak yang perlu dilakukan dalam bidang ini," kata Cheong kepada Bernama dalam satu temu bual berasingan.

Beliau seterusnya menjelaskan bahawa hanya terdapat profil tumor tertentu sahaja di Malaysia, contohnya, tumor yang mempunyai gen HER2 yang menjadikan tumor itu cenderung bertindak balas terhadap ubat yang dipanggil Herceptin.

Terdapat profil tumor yang lebih kompleks umpamanya yang menyusun urutan genom kanser yang boleh diakses, namun ujian itu tidak dikendalikan di negara ini.

SOKONGAN BAGI PESAKIT KANSER

Tambahnya, CRM bertujuan mengenal pasti gen-gen yang boleh membantu penyelidik memahami mengapa sesetengah pesakit tidak bertindak balas dengan berkesan seperti sepatutnya terhadap terapi kanser yang diberikan.

Dalam perkembangan lain, Caris Life Sciences, sebuah syarikat penyelidikan bioteknologi berpangkalan di Amerika Syarikat telah menubuhkan portal MyCancer.com (www.mycancer.com).

Laman sesawang itu menyediakan maklumat mengenai profil molekul, biopenanda kanser dan transformasi penyelidikan rawatan kanser yang terkini.

Ia juga memberi panduan kepada pesakit kanser untuk mengikuti perjalanan rawatan langkah demi langkah, dengan memperincikan topik-topik rumit dan istilah-istilah untuk memudahkan proses itu, di samping menyediakan pelbagai sumber dan maklumat untuk membantu pesakit menjadi proaktif dalam melawan kanser.

Ia juga direka untuk membantu penjaga dalam menyokong pesakit kanser untuk melalui perjalanan mereka melawan kanser.

Insiden kanser di Malaysia meningkat dari 32,000 kes baru pada tahun 2008 kepada 37,400 kes pada 2012.

Angka itu dijangka meningkat kepada lebih 56,000 pada tahun 2025.

-- BERNAMA