DI awal pembabitannya dalam arena ratu cantik, namanya mungkin kurang dikenali.

Langkah pertamanya dalam Miss World 2016 hanya berakhir dalam pusingan Top 5.

Namun, semangat wanita berusia 24 tahun ini tidak luntur dan terus mara sama seperti mentornya, Pia Alonzo Wurtzbach.

Bagi anda yang mengikuti kisah Pia, pasti anda tahu bagaimana bulatnya tekad wanita ini untuk mewakili negaranya ke arena Miss Universe.

Pia hanya berjaya selepas percubaannya yang ketiga dalam pertandingan ratu cantik di Filipina, Binibining Philippines.

Selepas itu, kemaraan Pia ibarat tidak mampu disekat sewaktu beraksi di Miss Universe 2015 seterusnya menumpaskan Olivia Jordan dari Amerika Syarikat dan Ariadna Gutierrez dari Colombia.

Mungkin inilah semangat yang dicontohi Catriona Gray untuk berjaya di pentas Miss Universe.

Dilahirkan di Cairns, Queensland 6 Januari 1994, Catriona merupakan gadis berdarah campuran Australia dan Filipina merupakan seorang penyanyi yang pernah terlibat dalam pementasan muzikal Miss Saigon dan juga seorang model.

Calon juara sejak daripada mula pertandingan

Di awal ketibaannya di Bangkok, Thailand pada hujung November lepas, aura seorang pemenang sudah terserlah dengan menggunakan sepersalinan berwarna hijau dan hitam.

Catriona menerima sambutan luar biasa di lapangan terbang berbeza dengan wakil-wakil negara yang lain yang turut tiba di hari yang sama ketibaannya.

Sejurus itu sehingga ke saat artikel ini ditulis, media sosial masih dibanjiri wajah manisnya dan rata-rata peminat ratu cantik seluruh dunia memilihnya sebagai heavy favourite pertandingan itu.

Ini terbukti apabila jumlah pengikutnya di Instagram melonjak sehingga 1.5 juta pengikut dan sememangnya ia akan terus bertambah kerana Pia Wurtzbach setakat ini juga punya ikutan seramai 7.1 juta.

Ini seterusnya menjadikan Pia sebagai Miss Universe paling berpengaruh dan mencatatkan jumlah pengikut terbanyak dalam sejarah Miss Universe.

Penulis sempat menghubungi Whulandary Herman yang merupakan Puteri Indonesia 2013 dan peserta kedua dari republik itu melayakkan diri ke peringkat Top 16 Miss Universe 2013 di Moscow, Rusia selepas Artika Saridevi pada 2005.

Jawapannya ringkas, Catriona sememangnya layak untuk memenangi Miss Universe 2018.

Pastinya itulah respon ramai pihak yang sememangnya mengikuti pertandingan ini sejak daripada awal.

Kemenangan bermakna buat Filipina

Kemenangan Catriona ini sebenarnya melambangkan semangat dan kecintaan rakyat Filipina dalam dunia ratu cantik.

Penduduk Filipina merupakan antara masyarakat yang sememangnya meraikan ratu cantik bukan hanya sebagai seorang ratu, malah lebih daripada itu.

Pertandingan ratu cantik ibarat sukan bola sepak pada warga Filipina.

Fenomena sama dapat disaksikan di Venezuela, Mexico, India, Indonesia dan Thailand di mana rakyat negara-negara ini mempunyai perasaan cinta yang mendalam dan ini menyebabkan perwakilan mereka sentiasa tampil hebat dan beri saingan luar biasa.

Faktor sokongan merupakan satu elemen penting dan dilihat sebagai kayu pengukur dalam mencipta sesuatu kejayaan yang membanggakan.

Bayangkan setiap kali acara ini berlangsung walau di mana sahaja diadakan baik di Las Vegas, Moscow dan Bangkok, pastinya peminat dari Filipina mendominasi tempat duduk.

Ini kerana mereka ingin pastikan perwakilan mereka dapat sokongan yang padu untuk menang dan sekiranya menang pastinya ia buka lembaran baharu buat warga Filipina.

Tidak dinafikan sekiranya Malaysia punya sokongan dan pengaruh sama, pastinya kita juga mampu lolos seperti Filipina dan negara-negara lain.

Justeru, diharap kemenangan ini akan mampu meletakkan Filipina sebagai sebuah negara yang terus membangun dan maju dalam sektor pelancongan khususnya.

Ini kerana peranan Catriona bukan sahaja mewakili organisasinya, malah ia lebih bertindak sebagai duta kecil Filipina di mata dunia.