TAHUN 1998 menyaksikan ratu cantik Malaysia, Lina Teoh berjaya merangkul tempat ketiga di pentas Miss World 1998.

Kemenangan itu merupakan pencapaian tertinggi buat negara ketika itu dan sehingga ke hari ini, Malaysia belum pernah menjuarai mana-mana pertandingan ratu cantik.

Tahun ini anak kelahiran Kuching, Sarawak, Larissa Ping membawa misi dan harapan negara di pentas Miss World 2018 di Sanya, China.

Berdarah Cina-Kenyah, gadis berusia 19 tahun bukanlah antara peserta favourite di peringkat awal seperti peserta dari Perancis, Thailand, Mexico, Nepal dan Afrika Selatan.

Gaun malam rekaan Rozie Khan Couture ini meletakkan Larissa dalam kategori Top 5 for Best Designer Award. - Sumber IG/Larissa Ping

Namun Larissa semakin hari semakin menunjukkan ‘belang’ dengan menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang berada di Sanya.

Setakat ini, Larissa berjaya memenangi hati juri untuk beberapa pertandingan peringkat awal yang dipertandingkan di sana seperti Top 5 for Best Designer Award, Top 32 for Miss World Top Model dan akan bersaing di pentas akhir untuk Miss World Talent.

Bukan itu sahaja, Larissa kini berjaya memikat hati peminat ratu kecantikan seluruh dunia.

Ini terbukti apabila beberapa akaun rasmi di media sosial yang membuat ramalan terhadap peserta Miss World mula meletakkan wajah Larissa sebagai peserta wajib mara.

Inspirasi budaya etnik di Sarawak jadi pilihan Larissa untuk segmen Kostum Kebangsaan. - Instagram/Larissa Ping

Kini, Malaysia meletakkan harapan pada Larissa untuk mencipta sejarah sebagai Miss World yang pertama dari negara ini.

Mampukah Larissa menyaingi kesemua 117 peserta lain? Adakah persembahannya sudah cukup mantap setakat ini?

Sama-samalah kita mengharapkan yang terbaik dan bagi anda yang ingin mengundi, anda boleh lakukannya menerusi aplikasi Mobstar dan laman web rasmi Miss World.