KUCHING:Bermula dengan sekadar hobi seawal usia tujuh tahun, Amey Sheikh Ali, 30 tahun, tidak sama sekali menyangka bakat melukis dimilikinya itu kini menjadi sumber pendapatan utama.

Ini kerana bermula tahun 2013, Amey nekad untuk menjadi pelukis mural sepenuh masa dan lebih membanggakan apabila hasil kreativitinya itu sudah menghiasi beberapa bandar-bandar utama di Sarawak.

Untuk rekod, dia telah menyempurnakan lebih 50 mural di Sarawak, Kuala Lumpur dan Ningbo, China.

Bersesuaian dengan era pandemik ketika ini, dia memilih untuk menghasilkan karya-karya bertemakan COVID-19 dan norma baharu.

Lukisan mural yang dihasilkan Amey.

Bertemakan Kita Jaga Kita, Amey memilih menggunakan isteri dan anaknya untuk dipotretkan sebagai lukisan bagi menghasilkan terjemahan yang relevan dengan situasi terkini.

“Saya memilih menggunakan kedua-dua mereka sebagai model lukisan bagi memaparkan dua generasi yang berbeza, pertama generasi 90an dan generasi terkini.

“Apa yang cuba saya paparkan adalah kita semua mempunyai tanggungjawab untuk membendung penularan wabak ini, tidak kira tua atau muda, semua memilliki peranan yang sama,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

Selain itu menerusi karyanya juga, Amey berharap agar masyarakat akan lebih prihatin tentang kepentingan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan.



Lukisan mural yang dihasilkan juga diharap mampu memberi impak kepada masyarakat.

"Masyarakat di Sarawak ini sudah terbuka. Saya melihat mereka menerima dan menghargai grafiti serta mural dalam kehidupan seharian," katanya.