DENGAN pelbagai kejayaan sudah dilakarnya, tidak hairanlah bintang bola sepak terkenal, Cristiano Ronaldo, menjadi figura yang dibanggakan tanah airnya, Portugal.

Terbaharu, sebuah lapangan terbang bakal dinamakan sempena namanya.

Lapangan Terbang Madeira, yang terletak di Funchal, yang merupakan tempat asal Ronaldo, bakal ditukarkan namanya sempena nama Ronaldo.

Hal itu diumumkan oleh Gabenor bandar Madeira, Miquel Albuquerque.




Nama rasmi untuk lapangan terbang itu dilaporkan adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Cristiano Ronaldo Madeira.

Sebelum ini, Ronaldo sudah mempunyai sebuah muzium dan patung arca di bandar Funchal.

Minggu lalu, Ronaldo merasmikan pembukaan hotel lima bintang miliknya di bandar tersebut, yang dinamakan Pestana CR7 Hotel.

Hotel itu mempunyai 48 buah bilik, dengan harga bilik paling murah adalah €215 (RM962).

Ia merupakan cawangan kedua, selepas cawangan pertama dibuka di Lisbon, April lalu.

Dua lagi cawangan bakal dibuka di Madrid dan New York, tahun hadapan.