Sempena bulan mulia ini, Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin mengambil kesempatan Ramadan ini untuk berkongsi rezeki bersama yang memerlukan.

Badan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kumpulan Naza itu meraikan lebih 130 tetamu termasuk anak-anak yatim, pelajar tahfiz, fakir miskin ibu tunggal dan mualaf dalam satu majlis berbuka puasa di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini pada Selasa.

Menurut Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin, bulan mulia Ramadan adalah bulan untuk berkongsi, mengeratkan silaturahim dan bersatu hati.

“Melalui majlis istimewa ini, kami ingin menyumbang kepada masyarakat yang memerlukan sebagai tanda penghargaan atas kejayaan syarikat kami dan keberkataan yang telah diberikan oleh Allah S.W.T .

“Kami ingin menjadi teraju utama yang memberikan ‘sinar harapan’ buat masyarakat yang memerlukan ini dengan penuh kasih sayang dan semangat kebersamaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejumlah RM110,000 telah disumbangkan kepada mereka yang memerlukan termasuk Rumah Amal Limpahan Kasih, Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim & Miskin Rukaiyah, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Al Nasuha dan Bait Al-Hasanah.

Antara lain, yang turut menerima sumbangan adalah Madrasah Tahfiz Baitul Mahabbah, Pusat Perlindungan Muallaf Baitul Salam dan Orang Asnaf Kakitangan Naza.

Turut hadir majlis tersebut adalah Puan Seri Utama Zaleha Ismail, Marion Caunter Abdullah, Nur Diana SM Nasimuddin dan Nur Nadia SM Nasimuddin.