KECOH di media sosial rakaman video seorang wanita yang mengasari seorang kanak-kanak berhampiran mesin pengimbas tiket tren di sebuah stesen tular pada malam Isnin.

Menerusi sebuah video yang dikongsikan di Facebook Metafora Anafora, wanita itu dilihat begitu marah dengan kanak-kanak tersebut sehingga menampar, menghayunkan tangan, menyepak dan menendangnya berulang kali.

Video yang berdurasi selama 1 minit 33 saat itu dipercayai berlaku di sebuah stesen LRT di Lembah Klang dan telah ditonton lebih 400,000 dan dikongsi lebih 223 oleh pengguna Facebook.

Rata-rata netizen yang menonton video tersebut meluahkan rasa geram dengan tindakan yang dilakukan oleh wanita tersebut kerana dia dilihat memperlakukan kanak-kanak itu seperti haiwan.

@Puteri Noreen Salehuddin: 'Anak memang ada masa banyak ragam,nakal. Kadang-kadang menguji kesabaran tetapi sebagai ibu banyakkan bersabar. Semoga ibu ini diberikan kesabaran dalam menjaga anak2.

@Rahmat: 'Kalau nakal sekali pun anak itu janganlah diperlakukan seperti haiwan kerana haiwan juga sayangkan anak mereka. Diharapkan ibu itu mendapat hidayah.

@WanAhmd: 'Anak merupakan amanah daripada Allah. Dia tak tau pun mana baik dan buruk. Mungkin anak ini jugalah yang akan mendoakan ibu bapa yang berada di alam barzakh nanti.

@Haidar: 'Tak kisahlah apa alasan sekalipun, jangalah lakukan anak seperti itu kerana dia merupakan amanah yang patut dijaga.

@Qusyairee: 'Kesian anak kecilitu kerana dia belum mempunyai akal yang sempurna. Walaupun nakal dia tetap anak. Jangan menyesal kerana terlalu ikutkan emosi itu nanti.