Bagi mencapai matlamat dakwah Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam perlu melakukan tiga perkara asas - berdakwah kepada masyarakat bukan Islam, mengajak umat Islam melaksanakan kewajipan, dan mencegah aktiviti yang akan merosakkan ummah dan negara.

Menegaskan demikian pada Sabtu, Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Prof Madya Dr Saupi Man, berkata: "Tiga perkara asas ini perlu dilaksanakan oleh NGO Islam kerana ia membantu menjamin keamanan negara dan pada masa yang sama melindungi umat Islam agar terlepas daripada sebarang musibah.

"Dari sudut dakwah pula, NGO Islam kurang aktif bertindak... hanya berapa peratus sahaja NGO yang akan menegur jika ada umat Islam melakukan kesalahan," katanya ketika berucap di forum bertajuk ''Halatuju NGO-NGO Islam, Ke Mana Arahnya'' di Bangunan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), di sini.

Saupi yang juga ahli Jawatankuasa Persatuan Ulama Malaysia (PUM) berkata NGO juga perlu mengurangkan aktiviti mesyuarat sebaliknya lebih kerap turun padang agar usaha dakwah itu akan tercapai matlamatnya.

"NGO Islam berperanan penting dalam membetulkan pelbagai kesalahan yang berlaku dalam masyarakat berlandaskan kepada ajaran Al-Quran dan hadis," katanya.

-- BERNAMA