NORWAY bakal menjadi negara pertama untuk menghentikan operasi rangkaian radio FM minggu hadapan dalam sebuah anjakan yang berisiko ke arah teknologi digital.

Tindakan yang tidak popular dan menerima kritikan itu akan dipantau oleh negara-negara lain untuk dipertimbangkan rasionalisasi dan kesan daripadanya, lapor portal berita The Guardian.

Menurut pengkritik, kerajaan Norway bersikap terburu-buru dan kemungkinan ramai orang akan terlepas amaran kecemasan yang disiarkan melalui radio. Selain itu, terdapat 2 juta kereta di Norway yang tidak dilengkapi Penyiaran Audio Digital (DAB), jelas mereka lagi.

Menurut sebuah kaji selidik yang diterbitkan oleh Daily Dagbladet pada bulan lepas, 66 peratus warga Norway menentang tindakan menghentikan operasi rangkaian radio FM dan hanya 17 peratus bersetuju.

Walau bagaimanapun, Parlimen telah memberikan kebenaran untuk tindakan tersebut dilaksanakan pada bulan lepas kerana rangkaian digital mampu membawa lebih banyak saluran radio.

Selain Norway, negara seperti Switzerland, Britain dan Denmark turut mempertimbangkan anjakan yang sama.

Penutupan rangkaian radio FM (Modulasi Frekuensi) telah diperkenalkan pada 1950-an dan akan dimulakan di utara bandar Bodoe pada 11 Januari.

“Kami merupakan negara pertama yang menutup rangkaian radio FM namun terdapat beberapa negara yang bergerak seiring kearah yang sama,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Digital Radio Norway, Ole Joergen Torymark.

Menurut Torymark, kereta merupakan 'cabaran terbesar' kerana kelengkapan adaptor digital untuk menggantikan radio FM berharga 1,500 crown Norway ($174.70), jelas beliau.

Dengan kos yang sama, radio digital membenarkan lapan kali ganda bilangan stesen radio berbanding FM. Ia juga menawarkan kualiti audio yang lebih jelas dan kurang gangguan bunyi desis.