Pulau Pinang melancarkan Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL) ketiga di Southbay Plaza, Batu Maung, dekat sini pada Sabtu.

PDL yang merangkumi keluasan 353.03 meter persegi, direka dengan konsep kontemporari moden dan terdiri daripada empat kawasan utama iaitu ruang pendaftaran, perpustakaan digital, lounge dan Pusat Pembelajaran STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow, yang merasmikan majlis pembukaan berkata penubuhan PDL Batu Maung adalah selaras dengan inisiatif kerajaan negeri menjadikan daerah Barat Daya Pulau Pinang sebagai hab tarikan.

"Konsep perpustakaan komuniti ini adalah inisiatif terbaru kerajaan negeri dalam menyediakan kemudahan kepada rakyat dengan platform dan rangkaian yang lebih luas (untuk sambungan), melibatkan kos pembinaan dan operasi yang sangat minimum," katanya dalam ucapan dan menambah kerajaan negeri akan bekerjasama rapat dengan pemain utama industri di bawah konsep 4P (Public-Private Professional Partnership).

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Maung Datuk Abdul Halim Hussain, Ketua Pegawai Eksekutif Mah Sing Datuk Ho Hon Sang dan Ketua Pegawai Operasi Everlyn Khaw.

Sementara itu, pada sidang media, Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) Bharathi Suppiah berkata pada masa ini, pangkalan data PDL Batu Maung terdapat kira-kira 3,000 e-buku dan jurnal.

Beliau berkata PDL akan bekerjasama dengan Perpustakaan Negara untuk mengakses lebih banyak e-buku pada masa depan.

"Kami menjangkakan mempunyai lebih 20,000 e-buku bagi pangkalan data PDL kami menjelang tahun depan," katanya.

Beliau juga berkata PDL keempat yang terletak di Dewan Ria, Butterworth, telah 85 peratus siap.

"Infrastruktur perpustakaan digital keempat di Dewan Ria, akan siap Disember tahun ini dan dijangka beroperasi Januari 2020," tambah beliau lagi.

Projek pertama PDL diperkenalkan pada 2016 dengan pembukaan bangunan PDL pertama di Jalan Masjid Negeri dan fasa kedua PDL (PDL-P2) yang direka berdasarkan konsep Perpustakaan dalam Taman, dibuka pada Januari lepas di lokasi sama.

-- BERNAMA