Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia kini mengeluarkan garis panduan baharu berkenaan jenis bagasi yang dibenarkan untuk dibawa masuk ke dalam kabin.

Menerusi artikel Polisi Penjarakan Sosial Bagasi Kabin yang kali terakhir dikemas kini pada Rabu lalu, hanya salah satu daripada tiga jenis bagasi kabin yang dibenarkan bagi setiap penumpang.

Tiga jenis beg tersebut adalah beg komputer riba, beg tangan dan beg kecil.

Bagaimanapun, setiap penumpang hanya dibenarkan membawa sebuah bag.

Ini tiga jenis bagasi kabin yang dibenarkan dibawa masuk ke dalam kabin AirAsia.

Malah, beg yang dibenarkan dibawa masuk ke dalam kabin perlu memenuhi tiga syarat ini:

i) Tidak boleh melebihi 40cm (Ketinggian) x 30cm (Lebar) x 10cm (Panjang)

ii) Tidak boleh melebihi berat 7kg

iii) Boleh dimuatkan di bawah tempat duduk hadapan

Bagaimanapun, jika bagasi kabin penumpang tidak boleh dimuatkan di bawah tempat duduk di hadapan, para penumpang dibenarkan mendaftar masuk masuk secara percuma bagasi kabin dengan syarat bagasi tersebut tidak melebihi berat 7 kg.

Sekiranya berat beg tersebut lebih dari 7 kg, caj tambahan akan dikenakan untuk setiap kilogram berat lebihan tersebut.

Polisi baharu itu dibuat selepas ruang storan bagasi di atas kepala penumpang juga tidak boleh digunakan ketika ini.

Difahamkan, keputusan itu adalah bagi mengurangkan pergerakan dan amalan penjarakan sosial antara penumpang di dalam pesawat dan dikuatkuasa selepas proses hibernasi pesawat AirAsia ditarik semula pada 29 April, 2020.

Jika dahulu, para penumpang boleh meletakkan bagasi di ruang bagasi kabin, namun kini tidak lagi, hanya di bawah kerusi hadapan.

Baru-baru ini tular video dan kenyataan beberapa pelanggan AirAsia yang keliru dengan polisi baharu bagasi kabin syarikat tersebut.