Pekerja Aquaria KLCC di sini menerima kejutan yang tidak dijangka pada Selasa lepas.

Pekerja-pekerja yang sedang membuat persiapan rutin harian untuk pembukaan Aquaria KLCC pada hari itu, tiba-tiba terjumpa sebuah kotak 'styrofoam' yang diisi dengan air masin dan ditebuk lubang untuk pengaliran udara.

Jelas tertera di kotak itu adalah tulisan ‘Please take care [of] them’ (Tolong jaga mereka’.)

Apabila kotak itu dibuka, mereka menemui dua ekor anak Penyu Hijau!

Pekerja Aquaria KLCC jumpa kotak berisi dua Penyu Hijau.

"Penyu-penyu itu telah dibawa ke dalam tempat kami dan dijaga oleh pekerja kuratorial kami. Penyu Hujai tersebut mempunyai berat 1kg dan 2.1 kilogram masing-masing.

“Kedua-dua penyu itu berada dalam keadaan yang baik, dengan mata yang jernih dan tempurung yang normal dan sihat.

"Mereka dipindahkan ke dalam tangki kuarantin air masin Aquaria, di mana mereka diberi makan ikan makeral, udang dan sotong. Mereka juga diberi pemeriksaan kesihatan.

"Pihak berkuasa telah dimaklumkan mengenai penyu-penyu ini, dan Aquaria KLCC sedang berusaha untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk penjagaan dan kesihatannya," kata Aquaria KLCC dalam satu kenyataan.

Penyu Hijau (Nama saintifik: Chelonia mydas) boleh membesar sehingga 5 kaki panjang dan boleh mencapai berat sehingga 190kg.

Kematangan seksualnya boleh berlaku antara umur 20 hingga 50 tahun, dan ia boleh hidup sehingga 80 tahun.

Status ICUN mereka dilabelkan sebagai terancam, oleh kerana pemburuan telur dan penyu, yang menyebabkan kehilangan habitat bersarang, pencemaran laut, dan gangguan manusia.

Dianggarkan bilangan penyu Hijau di Malaysia telah menurun sebanyak 70 peratus dalam tempoh 10 tahun lepas.

Penyu Hijau dewasa berhijrah sehingga 3,000 km untuk makan dan bersarang dan namanya datang daripada lapisan lemak berwarna hijau di bawah tempurungnya.