Seorang pelancong Norway yang tiba di Malaysia pada Khamis tidak menyangka tuah sedang menunggunya di negara ini.

Tuah yang dimaksudkan datang bersama satu iklan akhbar mengenai pelancaran dan penjualan telefon bimbit terbaru Samsung.

Nicklas Hystad benar-benar tertawan dengan iklan itu.

Sejak pukul 4 pagi, dia berbaris di pintu masuk KLCC, semata-mata untuk memastikan hajatnya memiliki Samsung Galaxy S7 edge, tercapai.

Hystad, 21, yang menjadi pengguna telefon bimbit Samsung sejak 2012, begitu terpesona dengan model itu hingga sanggup merombak rancangannya menjelajah negara ini selama beberapa hari.

"Sudah lama saya menunggu untuk menjadi pemilik telefon ini, tetapi ia belum dilancarkan di Norway.

"Samsung adalah yang terbaik dan saya betul-betul menunggu kedatangan pada Jumaat untuk menggantikan telefon lama saya (Samsung S5) kepada S7 edge.

"Ia berlaku secara mengejut kerana saya tidak pernah menyangka akan dapat membeli telefon ini di sini, tetapi apabila saya membaca mereka menjualnya hari ini, saya rasa saya mesti mendapatkannya hari ini," kata pemuda itu kepada Bernama selepas membelinya di KLCC di sini pada Jumaat.

Hadiah istimewa

Pada pelancaran telefon bimbit baharu Galaxy S7 edge itu, Samsung menawarkan kepada peminatnya sesuatu yang istimewa iaitu 2,000 pelanggan pertama di tujuh lokasi di Malaysia yang membeli Samsung Galaxy S7 edge hari ini akan mendapat hadiah 'Samsung Gear VR' (bernilai RM459).

Sementara itu, presiden Samsung Malaysia Electronics IT and Mobile Lee Jui Siang berkata jumlah mereka yang hadir untuk membeli Galaxy S7 pada Jumaat adalah di luar jangkaan.

Terdapat tujuh warga asing turut berbaris untuk membeli telefon itu, katanya.

"Oleh itu, kami berazam untuk terus memberi kepada semua orang perkhidmatan berkualiti dan melakukan yang terbaik untuk memastikan setiap orang menikmati pengalaman yang menggembirakan," katanya kepada Bernama.

Pertama kali diperkenalkan pada acara Samsung Unpacked di Barcelona bulan lepas, Galaxy S7 Edge dipacu pemproses dalaman Exynos 8890 octa-core dengan kemampuan RAM 4GB.

Telefon itu dilengkapi skrin lebih besar berukuran 5.5in, meletakkannya dalam jajaran antara S6 edge (5.1in) dan S6 edge+ (5.7in), sambil mengekalkan paparan QHD Super Amoled (diperbuat daripada Kaca dan logam 3D), dengan 1,440 x 2,560 pixel.

Imej tepat

Kamera terus menjadi bahagian penting bagi telefon pintar Galaxy apabila Galaxy S7 edge pertama kali memperkenalkan kamera pixel dual untuk menghasilkan imej lebih terang dan tepat.

Dilengkapkan dengan autofokus pengesanan fasa dan penstabilan imej optikal, adalah tidak berlebihan jika dikatakan S7 Edge memiliki satu daripada kamera paling berkuasa dalam kalangan telefon pintar yang ada sekarang.

Model ini kini boleh didapati di Malaysia pada harga runcit yang disyorkan RM3,099, termasuk GST.

Galaxy S7 terdapat dalam tiga warna -- oniks hitam, perak titanium dan emas platinum.

Telefon pintar Samsung kini menerajui pasaran di seluruh dunia dan mempunyai kedudukan kukuh di Malaysia.