Jika disebut sahaja perkataan ‘Hot Wheels’, ramai yang sudah dapat mengagak aktiviti yang dilakukan oleh peminatnya.

Namun, bagi peminat kereta kecil berkenaan, sudah menjadi kebiasaan bagi mereka untuk melakukan aktiviti bersama dan bulan ini mereka bertemu lagi untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang dirancang.

Ketua Komuniti Diecast Batu Pahat, Azhar Saad berkata, pihaknya menganggap aktiviti mengumpul kereta kecil terbabit adalah satu perkara yang sihat berbanding melepak tanpa melakukan sebarang perkara.

Menurutnya, pihaknya turut menyangkal pandangan sesetengah pihak yang mengumpul kereta berkenaan tidak menguntungkan.

“Tiada siapa sangka figura kereta mini, Hot Wheels yang asalnya dijual dengan harga sekitar RM5 hingga RM10 di pasar raya dan juga kedai permainan cukup tinggi nilainya, sehingga mampu mencecah ratusan ringgit jika kena caranya.

“Hanya kami penggemar dan pengumpul kereta mini ini sahaja mengetahuinya, termasuklah jika kereta mini terbabit dicat semula dan juga dihias dengan beberapa aksesori tertentu yang mirip kepada kereta yang sebenar.

“Di samping ketika mengadakan perjumpaan kita akan mengadakan perlumbaan kereta terbabit, selain bertukar-tukar idea bagi menjadikan aktiviti akan datang lebih menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa perjumpaan komuniti terbabit di Taman Budaya, di sini, yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Belia Daerah Batu Pahat (MBDBP), Muhammad Izzat Datuk Ariss.

Sementara itu, menurut Muhammad Izzat, pihaknya mengadakan kerjasama dengan komuniti itu bagi melahirkan lebih ramai lagi anak muda yang tidak membuang masa terluang mereka.

“Pada program ini, ia bukan sahaja melibatkan komuniti dalam daerah Batu Pahat tetapi ia turut disertai individu luar dari Kluang, Muar, Tangkak, Segamat dan Johor Bahru,” katanya.