Akhirnya peminat sukan papan selaju ataupun skateboarding di Malaysia dapat merasai pengalaman bersaing pada kejohanan Wild in the Parks edisi Malaysia Sabtu ini.

Berpandukan kempen Let the Kids Ride Free (L.T.K.R.F) Volcom Malaysia kini bertekad untuk bergiat lebih aktif mempromosi skateboarding dan gaya hidup penggiatnya dengan lebih hebat lagi.

Menurut Pengurus Pemasaran Volcom Malaysia, Calvin Liew, selain membangunkan skateboarding, LTKRF mempromosi kebebasan untuk berkarya menerusi skateboarding dan muzik.

“Kami juga bergiat aktif dalam papan luncur ombak dengan menaja empat peluncur tempatan selain mencari atlet motocross dan skateboarding untuk mempromosi jenama kami di Malaysia,” kata Calvin.

Tambah Calvin lagi, bagi memastikan pembangunan dan memberi motivasi kepada atlet yang bertanding, juara Wild in the Parks berpeluang mendapat tajaan penuh daripada Volcom.

Orang ramai yang berkunjung ke Wild in the Parks di Taman Cabaran Putrajaya Sabtu ini bermula 11 pagi akan menikmati makanan dan minuman percuma serta produk percuma daripada Volcom.

Pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan muzik kumpulan berkaitan dengan jenama Volcom Malaysia seperti Maddthelin dan Tiga Swagger yang menampilkan Cat Farish.

Selain itu pemain dram the Azenders, Kudut juga akan membuat persembahan bersama Kudut and the Covers selain persembahan kumpulan skatepunk veteran dari utara, Skatanixs.

Wild in the Parks anjuran Volcom merupakan acara tahunan bagi memperkasakan seni dan kreativiti remaja sambil menganjurkan kejohanan skateboarding di seluruh dunia.

Volcom ditubuhkan pada 1991 di Orange County California oleh Richard Woolcott dan Tucker Hall.

Pada 2011 kumpulan pengedar fesyen mewah Perancis, PPR SA mengambil alih syarikat Volcom dengan membeli keseluruhan kepentingan syarikat itu bernilai AS$608 juta.

Saksikan laporan lanjut aksi Wild in the Parks dalam Adrenalin pada 19 Jun 2013 8:45 malam di Astro Awani.