Lebih 300 penduduk di sekitar Kampung Petagas, di sini, mengambil inisiatif menyertai program Hari Pembersihan Sedunia (World Cleanup Day 2018) dengan mengadakan aktiviti bergotong-royong, hari ini.

Aktiviti pembersihan itu melibatkan enam kampung di daerah Petagas yang turut disertai Ahli Dewan Undangan (ADUN) Petagas, Uda Sulai.

Uda ketika ditemui media berkata aktiviti yang dianjurkan serentak seluruh negara hari ini mendapat sokongan padu daripada penduduk setempat untuk memupuk rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar.

"Tujuan utama penganjuran aktiviti ini adalah untuk memberi kesedaran kepada seluruh rakyat umumnya di Sabah dan khasnya di Kampung Petagas ini.

"Ini adalah untuk memberi kesedaran kepada penduduk sekitar sekurang-kurangnya membersihkan kawasan rumah agar tidak membuang sampah merata tempat," katanya kepada media selepas menghadiri Program World Cleanup Day 2018, di sini, hari ini.

Tambah Uda, beliau turut menyeru agar penduduk di kawasan Petagas memelihara dan menjaga Sungai Petagas yang menjadi penghubung penting antara kampung di kawasan tersebut.

"Saya berharap apabila sungai ini bersih nanti, kita dapat menanam pokok-pokok khasnya pokok Putat agar sungai kita lebih terpelihara. Jadi itulah matlamat kita dan gotong-royong ini akan kita adakan secara berterusan dari semasa ke semasa," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Mesra Alam Sekitar Sabah (MASESA), Ainie Jamin, berkata pemilihan Kampung Petagas pada sambutan pembersihan sedunia ini kerana kedudukan kampung tersebut yang terletak di tengah-tengah kota.

Tambahnya, pihaknya tidak menyasarkan berapa jumlah tan sampah yang akan dikumpul pada hari ini sebaliknya menggesa agar penduduk lebih ringan tulang mengutip sampah dan mengasing sisa sampah mengikut kumpulannya.

"Program yang diadakan hari ini tidak akan berhenti setakat hari ini malah kita akan meneruskan aktiviti ini untuk mendidik setiap penduduk kampung tahu nilai sampah dan tahu mengasingkan sisa-sisa sampah," katanya.

Terdahulu, peserta yang terlibat dalam aktiviti ini turut berganding bahu membersih sepanjang kawasan Sungai Petagas serta halaman-halaman rumah.