Lazimnya seorang pesalah seks atau pedofil harus menjauhkan diri dan tidak dibenarkan mendekati kanak-kanak setelah dibebaskan.

Undang-undang Amerika Syarikat (AS) mewajibkan bekas banduan yang disabitkan kerana kesalahan seks didaftarkan seusai menjalani hukuman.

Mereka ini tidak dibenarkan berada dalam lingkungan 1,000 kaki dari kawasan sekolah, taman permainan atau perhentian bas.

Larangan itu menjadikan mereka ini sukar untuk meneruskan kehidupan kerana secara logiknya terdapat kanak-kanak di mana-mana bandar.

Terdapat satu tempat di Pahokee, Florida yang dipanggil City of Refuge. Diselubungi oleh ladang tebu, City of Refuge memuatkan 61 buah rumah yang menempatkan 120 bekas pelaku seks di Amerika Syarikat.

Meskipun kawasannya kelihatan tenang dan nyaman, namun bekas-bekas banduan ini hidup dalam pembuangan.

Para penduduk di tempat ini yang majoritinya lelaki, diwajibkan memakai peralatan pemantauan yang dipasang di pergelangan buku lali.

Hanya seorang sahaja pesalah seks wanita yang berdaftar di City of Refuge dan dia sudah pun bertemu jodoh dan berkahwin semula dengan seorang penduduk di situ.

Badan bukan kerajaan (NGO), Matthew 25 Ministries yang dimulakan oleh Dick Witherow mengilhamkan idea penempatan ini 26 tahun lalu.

Witherow merasakan pesalah-pesalah seks ini memerlukan satu tempat baharu untuk tinggal ekoran kebimbangan masyarakat jika mereka hidup berdekatan atau dalam kejiranan yang sama.

Baru-baru ini kes pelajar Malaysia, Nur Fitri Azmeer Nordin, 23, yang dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh sebuah mahkamah di London kerana memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak menjadi perhatian.

Seakan-akan pencetus, kes ini membuka mata masyarakat mengenai kewujudan penyakit tidak sihat yang dipanggil pedofilia di Malaysia.

Bukanlah sesuatu yang baru lantaran kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin pernah menjadi topik hangat sekitar tahun 2007. Selain itu beberapa kes lain seperti pembunuhan Ang May Hong (1987), Nursyuhada Burak (2000) dan Nurul Huda Abdul Ghani (2004) turut dikaitan dengan pelaku seks pedofil.

Kini persoalannya ke manakah hala tuju pesalah laku seks ini setelah mereka dibebaskan dari hukuman?

Kongsikan pendapat anda.