SEORANG pengantin lelaki di Arab Saudi meninggalkan majlis perkahwinannya dipercayai tanda protes selepas diminta membenarkan bakal isterinya memandu selepas berkahwin.

Permintaan itu dibuat bapa pengantin perempuan sejurus sebelum majlis bermula.

Pengantin lelaki itu yang sebelum ini telah bersetuju untuk membenarkan isterinya terus bekerja dan membayar wang hantaran berjumlah RM45,000 terkejut dengan permintaan tersebut dan bertindak meninggalkan majlis.

Laporan Daily Mail menyebut, pengantin lelaki bagaimanapun masih sempat meminta ahli keluarga menghidangkan jamuan makan malam untuk keluarga tunangnya, namun tidak menyertai mereka.

Tidak dapat dipastikan jika pasangan itu akan meneruskan hasrat mereka untuk berkahwin atau tidak.

Kerajaan Arab Saudi minggu lalu telah mengeluarkan kenyataan membenarkan kaum wanita di negara itu memandu kenderaan bermula Jun tahun hadapan.

Sebelum ini, Arab Saudi merupakan satu-satunya negara di dunia yang tidak membenarkan golongan wanita memandu.