PENGASAS laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg, mengumumkan kedatangan orang baharu dalam hidupnya dengan kelahiran anak keduanya.

Isteri Zuckerberg, Priscilla, selamat melahirkan bayi perempuan yang dinamakan August.

Seperti kelahiran anak pertama mereka, Zuckerberg turut menulis sekeping nota buat August yang dimuat naik ke Facebook.


Dalam nota itu, Zuckerberg meluahkan harapan agar August dapat mempergunakan masa kanak-kanak sebaik mungkin.

"Kamu akan sibuk apabila dewasa kelak, jadi ayah berharap kamu mengambil masa untuk menikmati semua perkara yang indah dalam hidup di zaman kanak-kanak ini.

"Ayah harap kamu akan bermain dan tidur sepuasnya. Dan semoga kamu dapat dapat merasakan kasih sayang ibu dan ayah di dalam mimpi kamu," tulis Zuckerberg.

Anak sulung pasangan itu, Max, bakal genap usia dua tahun Disember ini.