SEBUAH kajian yang dilakukan di sebuah universiti Amerika Syarikat mendapati bahawa penggunaan media sosial secara berlebihan berkemungkinan boleh menyebabkan kemurungan.

Lapor portal CNET, kajian University of Pittsburgh mendapati mereka yang sering memeriksa akaun media sosial mereka, 2.7 kali lebih cenderung untuk mengalami kemurungan berbanding mereka yang jarang memeriksa akaun media sosial.

Kajian dilakukan bersama 1,787 orang dewasa berusia dari 19 hingga 32 tahun dan mengambil kira platform media sosial seperti Facebook, YouTube, Twitter, Google Plus, Instagram, Snapchat, Reddit, Tumblr, Pinterest, Vine dan LinkedIn.

Secara purata, pengguna media sosial meluangkan 61 minit sehari untuk memeriksa akaun media sosial mereka.

Namun ketua penyelidik Lui Yi Lin berkata walaupun terdapat hubungan antara tempoh penggunaan media sosial dan kes kemurungan, terdapat faktor-faktor lain yang perlu diambil kira.

“Mungkin mereka sudah mengalami kemurungan dan beralih ke media sosial untuk mengisi kekosongan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa pendedahan kepada kandungan media sosial oleh rakan-rakan boleh menimbulkan perasaan iri hati dan kepercayaan bahawa orang lain menjalani kehidupan lebih bahagia dan lebih berjaya.

Seorang lagi pakar berkata isu sebegini lebih kompleks.

Dr. Brian Primack, pengarah di Pitt's Center for Research on Media, Technology and Health berkata kaji selidik sebegini di masa hadapan perlu mengambil kira jika pengguna media sosial yang aktif atau pasif.