SEBUAH video yang memaparkan seorang wanita cuba mengisi minyak ke kereta elektrik miliknya di sebuah stesen minyak di Amerika Syarikat, menjadi perkongsian tular di laman sosial, hujung minggu lalu.

Video itu dirakam oleh pemandu dan penumpang sebuah kereta lain yang secara kebetulan berhenti di belakang kereta wanita terbabit.

Dalam rakaman yang dimuat naik ke akaun Facebook Mechanic Memes itu, wanita berkenaan kelihatan keliru dan tercari-cari tangki minyak, malah sempat membuka charging port yang terdapat pada kenderaan model Tesla S itu.

Kasihan melihat wanita itu, si perakam video kemudiannya keluar dari kereta dan memaklumkan kepadanya bahawa kereta tersebut adalah kereta elektrik yang tidak memerlukan petrol.

Wanita itu dilihat ketawa selepas diberitahu hal berkenaan, sebelum masuk ke dalam kereta dan memandu keluar dari stesen minyak terbabit.

Netizen rata-ratanya menganggap video itu sebagai sangat kelakar, namun ia juga mencetuskan kebimbangan.

"Kalaulah dia betul-betul masukkan pam itu ke dalam charging port, ia akan menjadi satu malapetaka yang dahsyat," kata seorang pengguna Facebook.

Tesla merupakan model kereta elektrik sepenuhnya dan memerlukan pengecasan menggunakan power socket. Ia merupakan jenis kenderaan yang semakin banyak digunakan oleh penduduk AS ketika ini, dengan lebih 100 stesen pengecasan terdapat di seluruh negara itu.